Mufti Perjelas Hukum Pakai Aksesori Logo Serupa Capal Nabi
PUTRAJAYA – Isu penggunaan pelbagai aksesori dan logo yang dikaitkan dengan capal Rasulullah SAW menimbulkan pertelingkahan ramai pihak di media sosial sehingga menuntut penjelasan yang arif termasuk pakar agama.
Bagi mengelak kekeliruan berpanjangan, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Luqman Abdullah akhirnya tampil memberi penjelasan dan pencerahan.
Luqman berkata, isu bertabaruk (mengambil keberkatan) pada lakaran capal yang dibentuk dengan athar para Anbiya, auliya dan para solihin ketika hidup mahupun ketika wafat, sebahagian besar ulama mazhab yang empat telah bersepakat akan keharusannya.
“Pelbagai contoh yang terdapat dalam athar dan perbincangan para ulama, namun hakikatnya, ini semua dilakukan kerana kecintaan mereka kepada RasulNya yang menatijahkan tindakan dalam bentuk tabarruk dan tidak lebih daripada itu” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikongsi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan semalam
Luqman berkata, tabaruk telah diamalkan tetapi dengan penuh keyakinan dan kepercayaan dengan beriktikad bahawa hanya Allah yang mampu memberi manfaat dan mudarat.
Berhubung isu lakaran capal dijadikan sebagai lambang yang dikaitkan dengan akidah, Luqman memaklumkan, semua pihak perlu faham bahawa selama mana perbuatan seorang muslim itu tidak menyalahi dengan iktikad sebenar, tiada siapa boleh sewenang-wenangnya melemparkan kalimah kufur atau syirik.
Menurutnya, para ulama cukup berhati-hati dalam menjatuhkan kufur kepada seseorang muslim dan ia perlu dibuktikan dengan qarinah atau pembuktian yang sebenar-benarnya.
“Ia bukanlah berasaskan dalil-dalil tertentu dan bukanlah amalan-amalan khas yang dituntut syarak secara khusus dan perbuatan tersebut hanya berpunca daripada kasih dan rindu kepada Rasulullah.
“Apabila perbuatan itu asasnya adab, kasih dan rindu maka sesetengah keadaan cukup untuk perbuatan itu dihukum harus selagi tidak bertentangan dengan prinsip syarak,” katanya.
Menjelaskan mengenai hukum asal tabaruk, Luqman menjelaskan tidak harus sama sekali untuk menjadikan tabaruk ini dan membuka ruang kepada isu lain seperti menjadikan lakaran capal Nabi sebagai bahan untuk meraih keuntungan duniawi serta menimbulkan fitnah kepada orang awam. – K! ONLINE
Kekal istiqamah di bulan Syawal: Mufti Dr Luqman
The post Mufti perjelas hukum pakai aksesori, logo serupa capal nabi appeared first on MYKMU.NET.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2020/11/13/mufti-perjelas-hukum-pakai-aksesori-logo-serupa-capal-nabi/