Mpm Tolak Keputusan Kabinet Letakkan Th Bawah Bank Negara
MAJLIS Perundingan Melayu (MPM), dengan ini mengeluarkan kenyataan berikut:
1. Keputusan Kabinet meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah BNM ditolak. Maka dengan ini, keputusan Jemaah Menteri mengenainya hendaklah ditangguh dengan segera.
2. Kami terkejut apabila kerajaan mengumumkan pada 15 Julai 2021 bahawa Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menetapkan TH sebagai institusi kewangan Islam di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) tanpa konsultasi dengan semua pihak berkepentingan (pemegang-taruh).
Keputusan ini boleh melumpuhkan peranan TH sebagai:
i) Institusi amanah yang mengurus dana simpanan pendeposit yang matlamat utama mereka untuk wang itu terkumpul dengan selamat bagi digunakan mengerjakan ibadah haji (dan umrah);
ii) Pada masa yang sama, pendeposit izinkan wang deposit mereka digunakan sebagai pemangkin ekonomi umat Islam di Malaysia.
3. Justeru, keputusan Jemaah Menteri itu wajib ditangguh dengan segera sehingga konsultasi umum dibuat untuk meyakinkan peranan TH tersebut tidak tergugat sama sekali.
4. Sejak asal penubuhan TH, bagi tujuan utama itu (melabur dan mengembangkan ekonomi umat Islam), Seksyen 4 (3) Akta Tabung Haji membenarkan TH, dengan kebenaran Menteri untuk:
i. Menyertai apa-apa perkongsikan, usahasama atau pengusahaan
ii. Memperoleh, memegang, menjual atau melupus syer dan sekuriti mana-mana badan
iii. Menubuh syarikat untuk menjalankan aktiviti yang dirancang dan diluluskan oleh Lembaga TH.
5. Peruntukan ini membenarkan TH untuk membeli dan memegang pelbagai jenis saham dan aset bagi umat Islam dalam ekonomi Malaysia.
Dengan model perniagaan yang dicanangkan sejak asal ini, TH telah berkecimpung dalam pelbagai industri seperti perladangan, kewangan Islam, pembangunan dan juga membenarkan TH memiliki beberapa bangunan premium di Kuala Lumpur termasuk di KL Sentral.
Pelaburan ini sejak berdekad-dekad telah mendatangkan pulangan yang baik kepada pendepositnya.
TH telah berjaya mengumpulkan wang individu umat Islam dan berkecimpung dalam pelbagai bidang dan sektor yang mana secara individu umat Islam sendiri tidak mampu dan berkebolehan.
6. Dengan meletakkannya di bawah IFSA, seksyen 223 membenarkan TH diurustadbir sebagai institusi kewangan Islam oleh BNM.
Kalau ini berlaku, ia akan menyekat urusan TH dan mengubah model perniagaannya sejak azali. Kalau kita lihat bank konvensional dan Islam, tiada bank yang memegang saham besar dalam mana-mana syarikat perladangan yang tersenarai di Bursa Malaysia seperti TH ataupun mana-mana syarikat tersenarai dalam industri yang bukan kewangan.
Kita juga tidak akan lihat mana-mana bank memiliki mana-mana bangunan premium di Kuala Lumpur sebagai pelaburan kecuali untuk kegunaan sendiri.
Ini adalah kerana prosedur dan struktur urustadbir (governance) di bawah IFSA dan FSA di bawah BNM adalah berbentuk menyekat. Hanya ‘perniagaan yang dibenarkan’ sahaja yang boleh dilakukan.
Ini dapat dilihat jelas di bawah Bank Islam Malaysia, sebuah anak syarikat TH yang tidak mempunyai portfolio pelaburan seperti TH.
Mereka tidak dibenarkan mempunyai perniagaan selain dari perniagaan perkhidmatan berkaitan kewangan. Kami akui IFSA memang sesuai untuk mentadbir sebuah institusi kewangan Islam seperti anak syarikat TH, iaitu Bank Islam, tetapi TH itu sendiri.
Tindakan ini akan menyekat TH jika diurustadbir sedemikian rupa.
Jika sedemikian, ia sudah tentu bakal melumpuhkan peranan TH untuk memperkasa ekonomi Islam di dalam pelbagai bidang.
7. Sesungguhnya kami amat terkejut keputusan sebesar ini dibuat tanpa konsultasi umum. Sepatutnya YB Menteri yang bertanggungjawab ke atas TH memanggil pelbagai pihak pemegang-taruh, yang diperakui mewakili sebahagian besar pendeposit menerangkan justifikasi dan skop urustadbir di bawah seksyen 223 IFSA. Bukan mengumumkan keputusan sudah dibuat dan kini hanya tunggu diwartakan sahaja.
Ini amat mendukacitakan. Memandangkan implikasi keputusan ini besar, kami ingin meluahkan kedukacitaan kami terhadap kegagalan YB Menteri untuk mengadakan rundingan ini.
8. Dengan ini, MPM mendesak YB Menteri yang bertanggungjawab untuk TH membentangkan usul di Mesyuarat Kabinet akan datang untuk ditangguh dahulu keputusan jemaah menteri itu.
9. Sayugia juga dimaklumkan di sini, pada Jumaat, 18 Januari 2019, MPM telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif TH ketika itu, di Wisma MPM bagi membincangkan isu urustadbir TH serta beberapa isu berkaitan.
Petang hari yang sama, MPM telah panggil seramai 18 pakar kewangan dan pelaburan di kalangan kerabat MPM bagi menyediakan saranan untuk pertimbangan pihak TH.
Pada keesokan harinya, cadangan itu dimelkan kepada pegawai berkenaan. Ianya diterima oleh pihak TH tanpa apa-apa tindakan pun diambil.
10. Di antara saranan MPM ketika itu ialah:
i. Laporan semasa TH hendaklah dijadikan Agenda Tetap Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu, kerana ia berkaitan dengan isu Agama Islam yang terletak terus di bawah bidang kuasa dan tanggung-jawab DYMM Tuanku sekelian, maka adalah wajib DYMM Tuanku juga berikan perkenan mereka terhadap apa juga keputusan berkaitan dengan institusi Islam ini;
ii. Kerajaan wajib melabur di dalam TH pada nisbah 1:1 dengan nilai deposit semasa, samada dalam bentuk aset kewangan atau bukan-kewangan. Pulangan pelaburan kepada bahagian pelaburan kerajaan inilah digunakan untuk menampong belanja pentadbrian TH dan juga untuk digunakan sebagai subsidi haji dari kerajaan bagi menampong kos haji yang meningkat setiap tahun. Kerajaan terdahulu sering mengumumkan bantuan subsidi haji tapi tidak pernah dinyatakan dari sumber mana subsidi itu diperolehi;
iii. Kepimpinan dan pengurusan kanan TH wajiblah dikalangan mereka yang memiliki kelulusan yang diiktiraf atau ditauliahkan untuk mentadbir-urus institusi kepentingan Islam. Ketetapan ini sekaligus memastikan kepimpinan dan pengurusan TH bebas dari campur-tangan atau pengaruh pihak- pihak luar yang boleh menjejaskan tadbir-urusnya. Kebanyakan kepincangan yang berlaku di TH sebelum ini berpunca dari masaalah ini, misalnya dalam membuat keputusan pembelian beberapa ladang yang diklassifikasikan sebagai ‘not value for money’;
iv. Oleh kerana nilai tabungan dan pulangan pelaburan yang dilaksanakan TH dijamin kerajaan, ada pihak yang tidak layak menabung di TH mengambil kesempatan berbuat demikian. TH adalah dengan ini didesak memulangkan kembali semua tabungan itu dan hanya boleh menerima tabungan berdasarkan matlamat asal penubuhannya.
11. Akhir kata, ada yang mungkin mendakwa bahawa dengan meletakkan TH di bawah IFSA, ia dapat mengatasi masalah urustadbir yang dihadapi oleh TH. Sebagai balasan, ada pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah urustadbir ini, sepertimana Perkara 10(iii) diatas.
Adalah tidak munasabah untuk menyelesaikan masalah spesifik urustadbir ini, peranan asal TH dilumpuhkan. Kita selesaikannya dengan cara yang optimum dan bukan mengeruhkan lagi keadaan sedia ada.
Setiausaha Agung MPM
Dato Dr Hasan Mad
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://tungkaranhati.blogspot.com/2021/07/mpm-tolak-keputusan-kabinet-letakkan-th.html