Misi Anak Tempatan Bangun Industri Satelit Malaysia
Ketua Pegawai Eksekutif SpaceIn, Norilmi Amilia Ismail bersama Ketua Jurutera syarikat itu, Ahmad Zulhelmi Subhanuddin (berdiri) dan Jurutera Segmen Tanah, Danial Ariff (kiri).PETALING JAYA: Selepas melakar sejarah melancarkan satelit piko pertama Malaysia iaitu SpaceANT-D, syarikat anak tempatan SpaceIn kini dalam misi menyiapkan SpaceANT-1 untuk ke angkasa.
“Apa yang kita ada sekarang adalah kita guna teknologi dari luar. Jadi kami SpaceIn ingin membangunkan industri tempatan, membangunkan komponen yang kita buat di negara kita sendiri,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SpaceIn, Norilmi Amilia Ismail.
November lalu, syarikat itu melancarkan SpaceANT-D yang merupakan satelit mendemonstrasikan misi penstoran dan penghantaran data untuk aplikasi Internet Pelbagai Benda (IoT) bersama Universiti Sains Malaysia (USM).
Kini mereka bersedia untuk pelancaran seterusnya bagi tujuan komersial.
Play“Sekarang kita ada satu pelanggan yang melihat kepada perhutanan iaitu (mahu teknologi) pemantauan hutan.
“SpaceIn akan bangunkan atau mereka bentuk modul yang akan menghubungkan sensor dengan satelit dan kita juga akan membina satelit sendiri,” katanya ketika ditemui FMT.
Sementara itu, Ketua Jurutera SpaceIn, Ahmad Zulhelmi Subhanuddin, berkata mereka sedang menyiapkan prototaip bagi model SpaceANT-1 dan menjangkakan ia dilancarkan hujung tahun ini.
Prototaip SpaceANT-D yang telah dilancarkan pada November lalu oleh syarikat anak tempatan ini.“SpaceANT-1 ini fokusnya lebih kepada komunikasi antara pengguna dan sistem satelit kami. Insya-Allah, kita akan siapkan SpaceANT-1 dalam Oktober atau November untuk dilancarkan,” katanya.
Beliau berkata, aplikasi teknologi satelit dibina SpaceIn juga tidak terhad kepada perhutanan mahupun pertanian tetapi berpotensi besar dalam industri lain seperti minyak dan gas.
Norilmi (depan, tengah) bersama pasukannya ketika melakukan ujian satelit di Agensi Angkasa Malaysia.Dalam pada itu, Norilmi berkata syarikat ditubuhkan pada November 2020 itu menyasarkan membina 50 satelit lagi bagi memasuki pasaran di negara lain.
“Malaysia dikenali sebagai negara pengguna teknologi. Namun, kejayaan SpaceIn diterajui anak tempatan diharap mampu menjadikan negara ini sebagai pencipta teknologi untuk manfaat dunia.
“Kalau kita tengok industri angkasa memang sedang berkembang sekarang. Siapa lambat akan ketinggalan atau awak kena bergerak cepat,” katanya. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/03/misi-anak-tempatan-bangun-industri.html