Misha Omar Selar Sikap Netizen Jadi Batu Api
Niat asal hanya berkongsi bakat dan menyatakan sokongan terhadap usaha rakan artis apabila memuat naik video yang menampilkannya mendendangkan semula lagu nyanyian mereka di laman sosial.
Namun, apa yang terjadi pula sebaliknya apabila nama penyanyi, Misha Omar diheret kepada kontroversi yang sengaja dicipta oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Perasaan amarah, kesal dan kecewa bercampur baur dalam jiwa Misha sebaik sahaja membaca komen ditulis netizen dalam video berkenaan. Jauh dalam hati tertanya-tanya, mengapa perlu mengaitkan nama penyanyi lain dan mewujudkan perbandingan dengan penyanyi asal setiap kali video dimuat naik.
Enggan terus dipersalahkan dan mahu menghentikan budaya tidak sihat, penghibur bervokal hebat itu tampil membuat teguran menerusi video siaran langsung menerusi laman Instagram, baru-baru ini.
Mengulas lanjut tindakannya, Misha berkata, dia mempunyai hak untuk berbuat demikian demi mempertahankan reputasi dan menjaga hubungan dengan mereka di sekelilingnya.
"Saya ada terbaca komen yang buat perasaan tersentak ketika melihat ruang komentar video berkenaan. Saya tak faham mengapa nama saya sering dikaitkan dengan penyanyi lain, tak kiralah sama ada penyanyi senior atau junior. Saya tak suka dibayangi sesiapa.
"Saya tak kisah jika mereka kutuk atau tak suka dengan cara nyanyian saya. Saya boleh terima, masih ada ruang untuk diperbaiki. Tetapi, apabila mereka mula membandingkan dan mengeluarkan kenyataan kononnya nyanyian saya lebih baik daripada penyanyi asal, itu satu cubaan untuk melaga-lagakan kami.
"Lagipun, saya bimbang, ia boleh mempengaruhi mereka yang tidak mengenali saya dan menyangka semua dakwaan ini benar.
"Jika perkara negatif tidak dihentikan segera, ia boleh mempengaruhi mereka yang tidak mengenali saya secara peribadi dan menyangkakan semua dakwaan ini benar. Selama ini, orang selalu cakap artis tidak beradab. Justeru, saya merasakan perlu untuk saya 'sekolahkan' mereka," luahnya.
Semakin diri menginjak dewasa, seboleh mungkin, penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Bunga-Bunga Cinta cuba untuk mengelak diri daripada terjerat dengan kontroversi yang memakan diri.
"Makin dewasa, saya sedar ada satu golongan sebenarnya bukan peminat saya, tetapi mereka ada untuk mengapi-apikan peminat dan melaga-lagakan artis. Ingin ditegaskan, kehadiran saya bukan nak tunjuk hebat atau lebih bagus daripada orang lain.
"Malah, saya tak pernah menyebarkan kebencian selama 18 tahun bergelar penyanyi. Sebaliknya, saya terus memberikan sokongan dan berkongsi kegembiraan atas kejayaan artis lain. Semakin dewasa, saya kena menjadi lebih matang. Cukuplah, waktu zaman muda dahulu.
"Saya tidak mahu menjadi punca perbalahan mana-mana pihak yang kesudahannya perasaan benci akan terpalit pada saya," kata nama lengkap Samihah@Aisah Omar itu.
Selepas kemunculan single Sampai Bila yang banyak mengubah corak perjalanan kerjaya seninya sejak dua tahun lalu, Misha kembali menyentuh hati peminat dengan lagu Tanpa Rela.
Menariknya, lagu Tanpa Rela adalah nukilan Misha sendiri berdasarkan pengalaman yang dilaluinya.
"Tidak dinafikan, lagu Sampai Bila banyak menghadiahkan kenangan indah dalam diri saya. Bermula dengan pentas AJL, kemudian beraksi dalam konsert Soul Sisters, sebelum tampil dengan Konsert This Is Misha, tahun lalu. Menyorot kembali perjalanan kerjaya, saya pernah hilang keyakinan diri dan mahu bersara, namun ia tetap mempunyai kemanisan tersendiri.
"Melodi Tanpa Rela tiba-tiba menerpa dalam fikiran. Dalam kesibukan, melodi terus terngiang-terngiang hingga tanpa disedari, saya mampu menyiapkannya.
"Bagi saya, jika melodi mudah melekat dalam hati, maknanya lagu ini sedap. Untuk memuaskan hati, saya perlu mencari seseorang yang profesional untuk menilai lagu berkenaan. Ketika itu, saya teringatkan sahabat yang juga komposer, Sze Wan.
"Saya tak berkeyakinan menghasilkannya seorang diri, jadi saya mengajaknya untuk bekerjasama. Perkara yang sama juga berlaku ketika menghasilkan lirik lagu.
"Menyedari ilmu penulisan saya masih belum cukup, saya turut mengundang Slen Fadzil dan Zul Husni Abdul Hamid untuk membuat lirik," cerita Misha sambil mengakui cukup berdebar menantikan karya sulungnya itu.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://artismeletop.blogspot.com/2020/10/misha-omar-selar-sikap-netizen-jadi.html