Merdeka Perjuangan Yang Belum Selesai
A Kadir Jasin
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
1957: Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman, isytihar merdekaMERDEKA!Merdeka!Merdeka!
Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-62.
Mengikut takrif asal daripada bahasa Sanskrit “maharddhika”, merdeka membawa maksud kekayaan, keagungan dan kekuasaan.
Soalnya, adakah kita telah merdeka seperti yang dimaksudkan dengan istilah “maharddhika” itu?
Adakah kita kaya dari segi harta benda, ilmu dan budi pekerti?
Ya dan tidak. Kita lebih kaya daripada zaman penjajahan. Tetapi bukan semua. Ada yang kaya sehingga tidak terkira hartanya. Tapi ada yang miskin kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Ramai Bumiputera masih dalam kategori “sarung index” yang dikisahkan oleh Profesor Diraja Ungku Aziz. Masih hidup sehelai sepinggang.
Macam itu juga dengan ilmu. Ada sebahagian yang setanding dengan yang terbaik dan terunggul di dunia.Mampu melancarkan satelit ke angkasa.
Cambridge, Ofxord, Harvard, Yale dan IMD adalah padang permainan mereka.
Tetapi masih ramai yang tercicir dari sekolah rendah dan menengah atau yang ijazahnya hanya mampu mendapatkan mereka kerja dengan kerajaan sahaja.
Budi pekerti? Mohon ampun dari hujung rambut sampai ke hujung ibu jari kaki kalau saya katakan, budi pekerti apa yang hendak kita banggakan?
Merompak, menyamun, melakukan rasuah, menipu, tidak bayar balik hutang, curi tulang, tidur di surau atas alasan sembahyang, tidak hormat undang-undang, tidak hormat orang tua.
Tetapi bercakap tentang bangsa dialah wira. Bercakap tentang agama kalah ulama.
Keagungan dan kekuasaan? Pun serupa. Ya dan tidak. Apa ukuran keagungan kita? Kekayaan yang tidak terkira atau ketinggian ilmu dan harga diri?
Sebutir bintang di langit gelap. Pancaran cahaya pada hari mendung. Saya mendengar cerita ada seorang raja agung yang bercakap tentang “conscience”, tentang hati kecil, tentang betul dan salah. Alhamdulillah.
Demi anak, cucu dan cicit kitaAda harapan bahawa demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan masih boleh menjadi jaminan masa depan.
Saya berbual dengan seorang ulama Melayu yang berpangkalan di Universiti Oxford agar menasihati raja-raja supaya menjadi khalifah di muka bumi seperti diunjurkan oleh Quran dan hadis.
Manalah tahu akan muncul sekali lagi ulama besar seperti Sheikh Abdullah Fahim yang memberi amaran: “Bila kita dah merdeka nanti jangan ada pemimpin ambil kesempatan buat kekayaan di atas belakang rakyat.”
Sheikh Abdullah Fahim juga diingati kerana satu lagi amaran beliau yang amat tajam yang boleh jadi sudah separuh terjadi.
Kata Almarhum: “Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan niat baik sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi sesiapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina. Kalau orang Melayu (yang) beragama Islam mengkhianati bangsa, negara dan agama, Allah akan gantikan (dengan) bangsa lain yang beragama Islam (bagi) menjaga tanah air kita.”
(Dipetik daripada buku “Sheikh Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara 13 Ogos ‘57” oleh Mokhtar Petah, Pustaka Antara 1997).
Menurut cerita popular, ketika beliau dikunjungi Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan para pemimpin UMNO lain untuk mendapatkan tarikh sesuai bagi mengisytiharkan kemerdekaan, Abdullah Fahim mencadangkan dua tarikh.
Satu pada 31 Ogos 1957 dan satu lagi 31 Ogos 1962. Pada pendapat beliau, tarikh 31 Ogos 1957 paling sesuai memandangkan segala usaha dan perjuangan rakyat Malaya sudah sampai kepada masanya untuk membuat tuntutan.
Tetapi sekiranya pihak British tidak bersetuju dengan tarikh itu, maka satu lagi tarikh yang sesuai dan baik ialah 31 Ogos 1962.
Apabila kedua-dua tarikh tersebut dibincangkan pada mesyuarat peringkat tertinggi UMNO, Ketua Pemuda ketika itu, Almarhum Tun Saadon Jubir, menolak 31 Ogos 1962 dan bertekad sekiranya British tidak setuju dengan 31 Ogos 1957 maka pemuda akan bertindak habis-habisan untuk menentangnya.
Kita bernasib baik kerana seorang pejuang kemerdekaan masih bersama kita – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Baca autobiografi beliau – Doktor Umum – dan kita akan tahu lebih banyak ceritanya.
Wallahuaklam.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://kadirjasin.blogspot.com/2019/08/merdeka-perjuangan-yang-belum-selesai.html