Menziarah Kak Di Hospital Sungai Petani
Assalamualaikum WBT
AWAL Mei, dalam group whatsapp, kakak ipar Sk yang merupakan kakak sulung Pak Inche beritahu, beliau akan menjalani ujian mammogram. Terdapat dua ketulan di payudara sebelah kiri. Masa ni tak tahu nak kata la.. sebabnya, arwah mak mertua Sk sebelum ini juga menghidap barah payudara. Namun mak telah sembuh dan kematian mak bukan disebabkan barah tapi sakit tua. Mak meninggal masa usia 92 tahun, mak Sk sebaya dengan Tun Dr Mahathir.
11 Mei - Hasil ujian mammogram dan ultrasound (maaf, Sk kurang pasti perbezaan atau persamaan antara kedua ujian ini), terdapat dua ketulan di sebelah atas dan bawah. Apabila ditekan yang atas tu tak sakit, tapi ketulan bawah tu sakit bila ditekan. Doktor beritahu, keputusan ujian cuma boleh diketahui pada 29 Mei. Doktor mengenalpasti sejarah keturunan. Untuk rekod, selain mak mertua, abang ipar Sk, Arwah Naman menghidap kanser hidung, Arwah Yan menghidap kanser pankreas dan anak saudara (anak Pet) Arwah Hafez menghidap kanser usus.
Arwah Naman meninggal dunia 15 September 2010
Arwah Hafez meninggal dunia 19 Jun 2015
Arwah Yan meninggal dunia 15 Mac 2019
Mak meninggal dunia 18 Julai 2021
Kak pasrah menerima apa jua keputusan. Kak disahkan kanser payudara namun tiada siapa berani nak tanya, kakak berada di stage berapa. Kak diarahkan mendaftar di Hospital Sungai Petani pada jam 8 pagi, Sabtu lepas. Kami semua balik untuk memberi sokongan kepada kak yang belum berumahtangga
Fasa usia ini, masing-masing dah kembali sejoli. Anak-anak semua sibuk dengan pengajian di universiti dan tidak dapat bersama balik ke Kuala Ketil. Kami mengeteh di Sheikh Bistro Sungai Petani sementara menunggu waktu melawat jam 12.30 tengahari
Empat beradik, yang tak ada Pet sebab ada urusan kerja. Tapi Pet tu la sebenarnya yang selalu jenguk kak sebab dia yang tinggal paling dekat. Nahhh.. sekarang yang lain ambil alih tugas Pet
Hanya dua orang pelawat sahaja dibenarkan masuk dalam satu masa. Sk dan Pak Inche masuk dulu sebab kami akan balik ke Johor manakala Kak Roz, Nae dan Akian akan tunggu sehingga kak selesai pembedahan. Malam tu kak mula berpuasa
Kak dimasukkan ke dewan pembedahan jam 8 pagi. Jam 10.40 pembedahan selesai dan masuk ke ruang pemulihan dan dipindahkan ke wad sejam kemudian. Tengahari tu kak dah boleh duduk. Pantas dan lancar urusannya. Tekanan darah 131/67 dengan skala kesakitan 2/10. Semoga luka pembedahan segera sembuh dan kemudian tunggu maklumat untuk rawatan kemoteraphi pula.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://sariyusa.blogspot.com/2023/06/menziarah-kak-di-hospital-sungai-petani.html