Menteri Umum Operasi Besar Besaran Banteras Sektor Ekonomi Tidak Patuh Sop Pkp
Bernama
KDN melancarkan Ops Patuh bagi membanteras ketidakpatuhan SOP di peringkat nasional secara bersepadu dan besar-besaran.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin. Gambar: Bernama Persidangan khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pengurusan Covid-19 Isnin lepas memutuskan supaya kementerian dalam negeri (KDN) meneraju dan mengkoordinasi penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19, dan sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata sehubungan itu pihaknya akan melancarkan Ops Patuh, yakni operasi membanteras ketidakpatuhan SOP di peringkat nasional secara bersepadu dan besar-besaran dengan serta-merta.
Katanya pelaksanaan Ops Patuh itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS) yang dipengerusikannya hari ini.
Bercakap dalam persidangan media mengenai rangkuman operasi SOP sekatan pergerakan penuh hari ini, beliau berkata operasi akan tertumpu kepada aspek penyalahgunaan surat kelulusan yang dikeluarkan oleh kementerian, jabatan atau agensi yang diputuskan MKN.
Selain itu katanya sekatan jalan raya bergerak akan diadakan di kawasan perkilangan dan perindustrian yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ Covid-19 di seluruh negara.
Hamzah berkata bagi memastikan keberkesanan pemantauan, aset strategik milik semua agensi penguatkuasaan seperti helikopter dan dron akan digunakan.
“Ketegasan dan keberkesanan aspek penguatkuasaan ini amat penting bagi membolehkan negara beralih kepada fasa pemulihan yang lebih baik dengan segera, sejajar dengan Pelan Pemulihan Negara yang telah dirangka kerajaan,” katanya.
Mengenai operasi pematuhan SOP, Hamzah berkata pihak berkuasa telah memeriksa 123,469 premis perniagaan dan 21,219 kilang di seluruh negara dalam tempoh 18 Jun hingga semalam.
Beliau berkata menerusi operasi itu, 885 kompaun dikeluarkan terhadap kilang dan premis perniagaan, 265 premis diarahkan tutup dan 39 individu ditahan atas pelbagai kesalahan mengenai ketidakpatuhan SOP serta melanggar arahan sekatan pergerakan penuh.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/06/menteri-umum-operasi-besar-besaran.html