Menjadi Satu Jenayah Untuk Kerajaan Meluluskan Cadangan Gabungan Uem Sunrise Eco World
Armin Baniaz Pahamin -October 13, 2020
Kita sedia maklum cadangan penggabungan UEM Sunrise dan ECO World mula digerakkan semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri ke-7 lagi tetapi cadangan itu ditolak oleh Mahathir dan kerajaan Pakatan Harapan (PH). Usaha penggabungan kedua-dua syarikat ini dicadangkan sekali lagi kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini.
Kalau cadangan ini ditolak di zaman pemerintahan perdana menteri ke-7 semasa situasi kewangan negara tidak memberangsangkan, cadangan ini seharusnya juga perlu ditolak dengan lebih keras waktu ini dalam kemerosotan ekonomi yang lebih tenat disebabkan wabak Covid-19 dan ketidakstabilan serta ketidaktentuan nilai hartanah. Sektor hartanah merupakan salah satu sektor yang paling teruk terjejas disebabkan pandemik Covid-19.
Cadangan penggabungan ini yang pernah dikaitkan dengan tuduhan kronisme terhadap pentadbiran Mahathir. Dengan cadangan untuk meneruskan penggabungan ini, telah terbukti tuduhan itu tidak benar dan ia merupakan inisiatif berterusan pihak Khazanah sendiri yang kini disokong oleh pentadbiran PN.
Adalah tidak wajar untuk kerajaan PN meluluskan penggabungan UEM Sunrise dan ECO World untuk menjadi syarikat gergasi ke-2 terbesar (dari segi pegangan saiz tanah) tanpa mempunyai pegangan majoriti dan hanya akan memiliki 48% pegangan saham dalam UEM Sunrise, turun dari 66%.
Keutamaan kerajaan sepatutnya diberi untuk menjamin pekerjaan seperti pekerja di syarikat penerbangan MAS, AirAsia dan lain-lain yang lebih terjejas dengan keadaan semasa bukan untuk menjamin pemegang saham pemaju perumahan mewah yang dibelenggu pinjaman berbilion disebabkan lebihan hartanah yang tak terjual. Lebih RM200 juta wang rakyat dibelanjakan untuk pembatalan projek perumahan PR1M dan tindakan itu seolah-olah wang rakyat cukup senang dibelanjakan.
Pada waktu ini, nilai hartanah yang semakin merosot dan dijangka lebih merundum, jumlah rumah dan hartanah mewah yang tak terjual semakin terkumpul serta peratusan pembeli dan syarikat korporat terjejas akibat wabak Covid-19 semakin membengkak. Ketika mana Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menegaskan pemaju rumah mewah tidak akan dibantu kerajaan dan akan dikenakan cukai pengosongan “Vacancy Tax” pada masa hadapan, Khazanah menghulurkan bantuan kepada ECO World yang mempunyai lebihan rumah dan hartanah tak terjual yang tinggi, pinjaman yang tinggi bersamaan RM3.6 bilion dan aliran tunai rendah RM30juta.
Pada masa sama, UEM Sunrise pula mempunyai aliran tunai yang tinggi bersamaan dengan RM700 juta dan jumlah pinjaman rendah. Status kewangan dan aset UEM Sunrise yang lebih kukuh ini dilihat seolah-olah digunakan untuk menutup beban hutang pinjaman syarikat ECO World dan juga hartanahnya yang tidak terjual.
Kesan pada sektor perumahan juga akan lebih dirasai pada awal tahun 2021 iaitu beberapa bulan selepas berakhirnya moratorium pinjaman dan apabila peratusan NPL dalam laporan CCRIS dan CTOS mula dikemaskini.
Cadangan penggabungan itu juga meletakkan nilai UEM Sunrise pada nilai RM1.8 bilion tetapi nilai itu tidak mengambil pasaran semasa iaitu penilaian RM60/kaki persegi untuk 5,000 ekar tanah di Iskandar berbanding dengan nilai dibeli hanya RM10/kaki persegi pada tahun 1995. Jika diambil kira, nilai saham UEM Sunrise sepatutnya mencecah lebih RM10 bilion. Ini memberi keuntungan yang lebih memihak kepada pemegang saham ECO World yang akan memegang saham 24% UEM Sunrise selepas penggabungan.
Pemegang Saham ECO World juga akan mendapat manfaat daripada akses dan jaminan wang rakyat melalui Khazanah dan dapat berlindung di sebalik jaminan-kegagalan daripada kerajaan. Semua GLC seperti syarikat penerbangan nasional, MAS yang gagal bawah pentadbiran lembaga pengarah yang dilantik oleh Khazanah tidak pernah dihadapkan ke mahkamah tetapi disuntik lagi dengan berbilion duit rakyat sebagai “recovery plan”.
Keputusan UEM mengambil alih Sunrise pada suatu ketika dahulu pun merupakan satu keputusan yang tidak tepat. Kini, UEM kembali membuat satu lagi keputusan yang bakal membahayakan dana pembayar cukai.
Pembaziran dan keputusan yang membabitkan kehilangan atau kerugian besar wang rakyat patut diklasifikasikan sebagai satu jenayah.
Armin Baniaz Pahamin ialah ahli jawatankuasa pusat penaja Pejuang.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2020/10/menjadi-satu-jenayah-untuk-kerajaan.html