Cermin Diri Sendiri Dulu Santiago Kata Pas Selangor
Tindakan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang meminta Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meletak jawatan dibidas kepimpinan Pas Selangor.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, Charles perlu cermin diri terlebih dahulu sebelum menuding kesalahan ke atas Menteri Air dan Alam Sekitar itu.
“Pencemaran ini adalah episod ulangan dari kilang yang sama disyaki, maka di mana tindakan awal oleh Charles Santiago sewaktu menjadi pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional (SPAN) semasa 22 bulan kerajaan PH memerintah sebelum ini dalam mengekang isu pencemaran sungai yang berlaku dari awal?
“Badan Perhubungan Pas Negeri Selangor amat berterima kasih kepada Menteri Alam Sekitar dan Air yang pantas mengambil tindakan serta bantuan yang diberikan menjadikan keresahan rakyat di kawasan yang terlibat semakin redha,” kata Dr Ahmad Yunus.
Awal hari ini, Charles meminta Tuan Ibrahim meletak jawatan jika kerajaan gagal mengambil tindakan terhadap syarikat yang menyebabkan pencemaran Sungai Selangor dalam tempoh sebulan.
Charles berkata, walaupun telah dikenakan kompaun RM60,000 sebelum ini, syarikat berkenaan tetap mengulangi kesalahan sama.
Beliau berkata, jumlah denda tersebut tidak akan menghentikan syarikat terbabit melakukan jenayah itu.
Ahli Parlimen DAP itu berkata, berdasarkan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, pemilik syarikat terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak melebihi RM500,000 atau sebatan atau ketiga-tiganya sekali.
Selain itu menurutnya, lesen syarikat perlu dibatalkan dan tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ahmad Yunus berkata, sikap yang ditunjukkan Charles hanyalah menzahirkan sifat kedengkian terhadap Timbalan Presiden Pas itu.
Katanya, atas gerak kerja Menteri yang efisien lebih dari Menteri zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah dan inilah yang diakui oleh rakyat umum.
“Cerminlah diri terlebih dahulu apa usaha yang pernah dilakukan sewaktu kerajaan PH berkuasa. Ini tidak, sudahlah tidak dilihat bekerja, memaksa pihak yang bekerja pula meletakkan jawatan,” katanya lagi.
Sejak semalam, sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor. – MalaysiaGazette
The post Cermin diri sendiri dulu Santiago, kata Pas Selangor appeared first on My KMU NeT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2020/09/06/cermin-diri-sendiri-dulu-santiago-kata-pas-selangor/