Mengejutkan Pegawai Kerajaan Miliki 4 Kereta Mewah Dipercayai Upah Setting Kaunter Di Klia
                                  Kumara Sabapatty                                                                                                                                                                                                                      

Kereta-kereta  mewah yang dirampas SPRM dalam Op Selat termasuk penahanan empat lagi  individu dalam perkembangan terbaru siasatan kes itu.             KUALA LUMPUR – Empat kereta mewah – Roll Royce Phantom,  Mustang, Range Rover dan Audi dirampas dalam Op Selat semalam, satu  penemuan yang disifatkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM) sebagai mengejutkan.
Ini kerana, menurut sumber, kereta-kereta mewah itu digunakan oleh  seorang pegawai Imigresen Gred KP19 dan ia adalah di luar kemampuan  beliau.
Menurut beliau, siasatan mendapati kereta mewah itu didaftarkan  atas nama dua warga China dipercayai ejen pekerja asing China yang  beroperasi di Malaysia dan dua ejen lelaki tempatan.
SPRM telah mengenal pasti identiti keempat-empat warga China dan rakyat tempatan terbabit dan sedang mengesan kesemuanya.
Menurut sumber juga, salah seorang ejen tempatan membantu menyimpan  kenderaan-kenderaan mewah yang digunakan oleh anggota imigresen sebagai  balasan upah untuk membuat setting kaunter di KLIA2.
Pengaturan (setting) kaunter khas itu bertujuan membantu meloloskan  pekerja asing atau pelawat asing masuk dengan mudah ke Malaysia.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali ketika dihubungi  tidak menolak lebih ramai lagi akan ditangkap dan siasatan dijalankan di  bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan  Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.
Op Selat tertumpu kepada siasatan siasatan berhubung kes sindiket  rasuah urusan cop palsu di pintu masuk antarabangsa negara dan operasi  semalam menyaksikan empat termasuk seorang pegawai imigresen ditahan  bagi membantu siasatan.
Op Selat: Pegawai Imigresen, 3 ejen pekerja asing ditahan SPRM
Setakat hari ini, seramai 50 orang telah ditahan iaitu 28 pegawai Imigresen, 17 ejen pekerja asing dan lima orang awam.
Selain itu wang tunai lebih RM800,000, 26 kereta mewah dan empat buah  motosikal berkuasa tinggi telah dirampas yang mana nilainya tidak  termasuk rumah, tanah, barangan kemas dan sebagainya. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/mengejutkan-pegawai-kerajaan-miliki-4.html