Mengapa Orang Yang Mengerjakan Haji Tamattu Dan Haji Qiran Dikenakan Dam Manakala Haji Ifrad Sebaliknya
Ibadah haji adalah wajib bagi orang
Islam yang berkemampuan, bukan atas dasar kemampuan kewangan semata-mata, tetapi
juga mampu dari segi kesihatan fizikal dan mental, mempunyai kenderaan, dan suasana persekitaran dalam keadaan aman.
Pekerjaan haji boleh dilakukan
dengan tiga model atau cara yang berbeza.
Perbezaannya adalah terletak pada waktu pelaksanaan haji dan umrah. Bakal-bakal
haji boleh memilih sama ada mahu melaksanakan Haji Tamattu’, haji Qiran atau
Haji Ifrad. Antara ketiga-tiga kaedah
ini, orang yang mengerjakan Haji Tamattu’ dan Haji Qiran wajib membayar dam,
sebaliknya pula Haji Ifrad tidak dikenakan dam.
Mengapakah orang yang mengerjakan Haji Tamattu’ Dan Haji Qiran dikenakan dam, manakala Haji
Ifrad sebaliknya?
Dalam ibadah haji yang kita
laksanakan, terdapat peraturan-peraturan yang kita perlu penuhi dan
larangan-larangan yang wajib kita jauhi dalam usaha bagi mendapatkan
kesempurnaan ibadah haji tersebut.
Haji Tamattu’
Orang yang mengerjakan Haji
Tamattu’ dikenakan dam dengan
menyembelih seekor kambing, kerana dia mengerjakan Umrah dan Haji dalam bulan-bulan
Haji pada tahun yang sama. Bulan-bulan haji yang dimaksudkan adalah bermula
pada 1 Syawal hingga 10 Zulhijah pada tahun tersebut.
Dikatakan juga kerana ia
bertamattu’ (bersedap-sedap dengan menanggalkan Ihram setelah berihram) dalam
bulan-bulan Haji dan dia tidak keluar ke
Miqatnya atau ke suatu tempat yang jaraknya sekurang-kurangnya 2 marhalah dari
Tanah Haram itu untuk berniat Ihram Haji.
Manakala syarat-syarat
dikenakan dam bagi orang yang mengerjakan Haji Tamattu’ adalah seperti berikut:
* Dia bukan daripada penduduk Mekah.
* Dia tinggal di tempat yang jauhnya dua marhalah
atau lebih dari Tanah Haram.
* Dia mengerjakan Haji dan Umrah dalam bulan-bulan
Haji pada tahun yang sama.
* Dia tidak berniat ihram Haji di Miqat bagi
penduduk negerinya atau bagi penduduk dari arah mana dia datang masuk ke Tanah
Haram untuk mengerjakan Haji.
* Dia tidak berniat Ihram Haji dari tempat yang
jaraknya 2 marhalah atau lebih dari Tanah Haram.
Haji Ifrad
Ifrad ertinya menyendiri. Jika
memilih untuk melaksanakan Haji Ifrad, maka seorang jemaah haji itu harus melaksanakan
ibadah haji dahulu, setelah selesai haji baru melakukan ibadah umrah. Namun Umrah boleh dilakukan pada bulan haji tetapi dengan kaedah dan syarat tertentu seperti yang dijelaskan di bawah.
Cara Pelaksanaan Haji Ifrad:
Cara 1:
Melakukan ibadah haji terlebih
dahulu, kemudian barulan melaksanakan umrah.
Urutan pelaksanaannya adalah,
ihram dari miqat untuk melaksanakan haji. Setelah selesai mengerjakan
haji, kemudian berihram lagi dan mengambil miqat untuk melakukan ibadah umrah.
Cara 2:
1. Melakukan umrah di luar
bulan-bulan haji, kemudian melakukan haji pada bulan haji. ATAU,
2. Umrah dilakukan pada bulan
haji, setelah selasai umrah dia harus kembali ke rumahnya atau tempat
tinggalnya, kemudian baru pergi lagi untuk menunaikan haji pada bulan haji,
pada tahun yang sama dia menunaikan umrah.
Justeru, mereka yang melaksanakan Haji Ifrad tidak dikenakan dam atau denda.
Haji Qiran
Qiran bermaksud berteman atau
bersamaan. Jemaah haji yang melakukan Haji
Qiran akan melakukan ibadah haji dan umrah secara bersamaan atau serentak
dengan kaedah yang ditetapkan. Hal ini dilakukan dengan sekali niat sekaligus
untuk haji dan umrah.
Pelaksanaannya dilakukan pada
bulan-bulan haji. Jemaah melakukan tawaf, sa'i, dan tahallul sekali untuk
haji dan umrah.
Namun orang yang menunaikan Haji Qiran diwajibkan membayar dam seekor kambing.[Pejabat Mufti WP, blog.principal.co.id]
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.orangmuo.my/2024/04/kenapa-orang-yang-mengerjakan-haji.html