Menegurlah Dengan Hikmah
Ada sebuah kisah kecil tetapi sarat dengan pengajaran. Seorang pakcik menegur seorang hamba Allah tentang kuku kakinya yang panjang. Katanya, kuku panjang itu tempat syaitan duduk. Teguran itu dibuat secara terbuka, di hadapan orang lain, tanpa ada ruang peribadi untuk si empunya diri menelan kata-kata tersebut. Mungkin ada setuju dan mungkin ada yang tak.
Tapi, cuba bayangkan perasaan orang yang ditegur. Bukan saja terkejut, bahkan mungkin terasa malu sebab ditegur di hadapan khalayak. Walaupun niat pakcik itu baik, tapi cara penyampaiannya mungkin tak kena pada tempat. Sedangkan dalam hidup bermasyarakat, menjaga hati dan perasaan orang lain itu juga adalah sebahagian daripada akhlak mulia. Tak dinafikan, Islam sangat menekankan budaya saling menasihati.

Firman Allah dalam Surah Al-Asr, Allah menyebut bahawa orang beriman itu ialah mereka yang “saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” Ayat ini jelas menunjukkan pentingnya nasihat dan teguran, tapi dalam masa yang sama, ia mesti disertai dengan kesabaran dan hikmah
Rasulullah SAW juga pernah bersabda: "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam." (Riwayat Bukhari dan Muslim). Hadis ini mengingatkan kita bahawa kata-kata yang keluar dari mulut mesti membawa kebaikan. Kalau tak, lebih baik memilih diam.
Menegur adalah kata-kata kebaikan, tapi cara menyampaikannya boleh menentukan sama ada ia diterima dengan lapang dada atau sebaliknya ditolak dengan hati yang terluka
Menegur di hadapan ramai orang mungkin membuat kita rasa sudah menunaikan tanggungjawab, tapi bagi orang yang ditegur, ia boleh jadi bad moment to her/him. Malu, tercalar maruah, bahkan mungkin timbul rasa kecil hati.
Sedangkan tujuan asal teguran adalah untuk membawa kepada perubahan yang lebih baik, bukannya untuk menjatuhkan atau memperlekehkan
Lebih indah kalau teguran dibuat dengan cara peribadi. Tariklah perlahan orang itu ke tepi, berbicara dengan suara lembut dan mulakan dengan kata-kata yang menenangkan.
Misalnya, “Maaf ya, saya perasan kuku awak agak panjang. Dalam Islam ada disebut tentang kebersihan kuku, mungkin boleh dipotong untuk kebaikan bersama.” Cara begini lebih mudah menyentuh hati sebab ia menunjukkan kita prihatin tanpa menjatuhkan air muka

Kisah ini mungkin nampak kecil, tapi sebenarnya ia membuka ruang kesedaran untuk kita semua. Dalam kehidupan seharian, kita mesti selalu berjumpa situasi di mana kita rasa terpanggil untuk menegur.
Sama ada tentang pakaian, adab atau hal-hal kecil seperti kebersihan. Apa pun bentuk teguran, biarlah ia disampaikan dengan kasih sayang. Kata-kata yang lembut boleh menenangkan hati, manakala kata-kata yang kasar boleh melukakan
So, kita perlu ingat bahawa menegur adalah sebahagian daripada ibadah dan ibadah itu tak akan sempurna tanpa adab. Niat baik akan lebih bermakna bila ia disampaikan dengan cara yang baik.
Semoga kita semua belajar untuk menegur dengan hikmah sebab setiap perkataan yang kita ucapkan mungkin menjadi sebab orang semakin dekat dengan kebaikan atau sebaliknya menjauh. Begitulah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ciklapunyabelog.blogspot.com/2025/09/menegurlah-dengan-hikmah.html