Memilih Ismail Sabri Seperti Hanya Mengundang Malapetaka Buat Negara
UMNO akhrinya memutuskan untuk menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri yang baru bagi menggantikan Mahiaddin Md Yasin.
Begitu pun, seperti yang dipetik daripada kenyataan Azalina Othman Said dalam sebuah portal berita, UMNO tetap memberi kebebasan kepada semua Ahli Parlimennya untuk mencalonkan sesiapa saja dalam surat akuan yang akan mereka hantar secara terus dan peribadi kepada Istana Negara sebelum jam 4 petang hari ini.
Persetujuan UMNO untuk tunduk mencalonkan Ismail Sabri adalah sesuatu yang malang sebenarnya kerana parti itu sanggup mengenepikan tokoh berwibawa seperti Tengku Razaleigh Hamzah yang mempunyai lebih kemampuan dan pengalaman untuk memulihkan negara yang telah rosak teruk ketika ini.
Ternyata, persetujuan UMNO menamakan Ismail Sabri yang lebih dulu persetujui oleh Bersatu, bukan saja menandakan parti itu tunduk kepada kehendak Bersatu yang merupakan musuhnya dan Presidennya, Mahiaddin Md Yasin sendiri dijatuhkan sebagai Perdana Menteri oleh UMNO, malah memperlihatkan kluster mahkamah seperti hilang kekuatan untuk berlawan dengan kemahuan kelompok kluster kabinet yang sudah beberapa kali ingkar ketetapan MT.
Yang lebih nyata, mencalonkan Ismail Sabri yang disokong kuat oleh Bersatu, ia juga bermakna jika beliau berjaya menjadi Perdana Menteri, kerajaan PN yang gagal dan telah berakhir dengan perletakan jawatan Mahiaddin, akan kembali semula mentadbir negara ini.
Hampir semua menteri era Mahiaddin sebelum ini pasti juga akan dilantik semula menganggotai kabinet Ismail Sabri.
Jadinya, kerajaan baru PN 2.0 nanti adalah juga lanjutan kerajaan gagal versi kedua.
Bagaimana kita boleh mengharapkan keputusan atau hasil yang berbeza jika ia diusahakan oleh tangan-tangan menteri yang sama?
Tambahan lagi, Ismail Sabri sendiri dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri sebelum ini adalah untuk memecah-belahkan UMNO di tengah-tengah kemelut Mahiaddin hendak dijatuhkan dan di ketika UMNO sudah ada ketetapan tidak akan menerima tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada Perdana Menteri.
Maka, kiranya Ismail Sabri terpilih sebagai Perdana Menteri, yang benar-benar untung ialah Bersatu dan Mahiddin kerana pengaruh mereka nampaknya berjaya menundukkan keegoan UMNO serta Zahid Hamidi selama ini.
Masa depan politik Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO juga dengan sendirinya boleh dikira sudah berakhir sebaik saja Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Malang bagi Zahid Hamidi, selepas beria-ia menjatuhkan Mahiaddin daripada kerusi Perdana Menteri, kerusi Presiden UMNO yang didudukinya bakal dirampas oleh Ismail Sabri.
Tetapi, yang lebih malang ialah nasib rakyat dan masa depan negara selepas ini.
Sebagaimana kita semua sedar, cabaran utama negara sekarang dan selepas ini ialah bagaimana untuk memulihkan semula ekonomi negara yang hampir mati kesan pandemik Covid19 di mana banyak syarikat ditutup dan rakyat hilang pendapatan.
Untuk itu, mahu tidak mahu, kita lebih memerlukan pemimpin yang berwibawa, berkemampuan, berketrampilan, banyak idea, dikenali di peringkat antarabangsa dan mempunyai komunikasi meyakinkan, tidak saja dengan pemimpin dunia, malah juga dengan kalangan pelabur dan pemimpin syarikat-syarikat gergasi yang ternama.
Hanya dengan adanya pemimpin sebegitu yang membuatkan mereka yang mempunyai wang dan modal daripada seluruh dunia sedia untuk melabur di negara kita.
Adakah Ismail Sabri punya kemampuan sebegitu?
Katalah dalam lawatan ke Amerika Syarikat misalnya, jika ada program bertemu pelabur dan peneraju syarikat gergasi di sana yang berjumlah 500 orang, mampukah Ismail Sabri berdialog dan memberi penerangan yang meyakinkan untuk mereka akhirnya setuju melabur dan menanam modal?
Ismail Sabri dengan kemampuan dan ketrampilan yang diketahui amat terhad, tidak dinafikan di dalam UMNO sendiri ramai yang meragui kemampuannya untuk membawa perubahan dan kemajuan kepada negara dari segi ekonomi jika beroleh kuasa nanti.
Menghidupan Mara Digital pun beliau gagal, inikan pula untuk memaju dan melonjak ekonomi secara menyeluruh untuk negara?
Adakah akhirnya hanya malapetaka lebih buruk akan menimpa kita semua selepas beliau menjadi Perdana Menteri?
Dan dengan kegagalan yang sudah boleh dijangka itu, tidak menghairankan jika selepas ini Ismail Sabri dan kerajaan PN 2.0 nantinya lebih menjadi sasaran kemarahan rakyat lagi di media sosial berbanding Mahiaddin sebelum ini.
Jika begitu, bersama pergelutan dengan Bersatu yang akan terus berlaku dalam berebut kerusi, bagaimanakah UMNO mampu menang PRU15 akan datang nanti? (ShahbudinHusin 18/08/2021)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/08/memilih-ismail-sabri-seperti-hanya.html