Mb Selangor Syor Sektor Ekonomi Di Kawasan Pkpd Kekal Tutup
MALAYSIA KINI
Kerajaan  Selangor mencadangkan agar penutupan sektor ekonomi di kawasan  dikuatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di  negeri itu dikekalkan.
Menurut Menteri Besar Amirudin Shari, cadangan itu dibangkitkan ketika mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.
"Kerajaan  negeri melihat matlamat pelaksanaan PKPD iaitu bagi memutuskan rantaian  wabak serta mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara masih  belum tercapai.
"Oleh itu, kerajaan negeri mencadangkan agar hanya  sektor ekonomi yang benar-benar perlu sahaja dibuka bagi pertimbangan  MKN," katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.
Katanya  lagi, kerajaan Selangor juga mencadangkan agar vaksinasi pekerja  dipercepatkan dan kadar vaksinasi dijadkain antara faktor pembukaan  semula sektor ekonomi.
Semalam, negeri itu mencatatkan jumlah kes  baru tertinggi dengan 4,152 kes. Sebanyak 63 kes kematian dilaporkan di  negeri itu semalam.
Amirudin berkata, antara faktor angka yang  tinggi itu adalah kerana saringan menyeluruh yang dilakukan di kawasan  PKPD, serta saringan kontak rapat kes positif di situ.
PKPD di 34 mukim
Sejumlah  34 mukim di Selangor berada di bawah PKPD bermula 3 Julai hingga 16  Julai, dengan hanya sektor ekonomi tertentu yang dibenarkan beroperasi.
Sebelum  ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata  hanya kilang makanan dan keperluan asas seperti beras, roti, gula,  minyak masak, tepung gandum, susu segar dan susu tepung bayi, ubat dan  topeng muka dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh itu.
Bagaimanapun,  bermula 7 Julai, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri  memberi kebenaran kepada lebih banyak sektor untuk beroperasi.
Antara  sektor tersebut adalah elektrik dan elektronik (E&E) dan rantaian  bekalannya, sektor aeroangkasa, mesin dan peralatan (M&E) bagi  pengeluaran produk kesihatan dan makanan serta syarikat pembuatan  makanan dan minuman utama.
Kilang yang dibenarkan beroperasi perlu  mengambil beberapa langkah, antaranya melakukan ujian saringan Covid-19  kepada semua pekerja dua kali seminggu.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/mb-selangor-syor-sektor-ekonomi-di.html