Mb Selangor Diberi Amaran Selepas Cadang Mansuh Hutan Simpan Kuala Langat Utara
   Nur Hasliza Mohd Salleh

Otai  Reformis menyerahkan memorandum membantah cadangan mansuh status Hutan  Simpan Kuala Langat Utara kepada kerajaan Selangor, hari ini. SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dinasihatkan tidak  gopoh berhubung cadangan pemansuhan Hutan Simpan Kuala Langat Utara  memandangkan terdapat 7 perkampungan Orang Asli di kawasan tersebut.
 Setiausaha Agung Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata, masa  depan politik pemimpin itu masih panjang dan beliau tidak patut  merisikokannya dengan isu terbabit.
 “Isu ini akan menjejaskan perjalanan politik dia (Amirudin) pada pilihan raya umum akan datang.
 “Pegang kata-kata saya,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan  memorandum bantahan kepada kerajaan Selangor berhubung cadangan  pemansuhan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara, hari ini.
Hadir sama, kumpulan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka).
 Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Langat Xavier Jayakumar dan Menteri  di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy menyuarakan bantahan  terhadap cadangan membatalkan warta kawasan seluas 930 hektar (2,300  ekar) di kawasan hutan simpan itu.
 Ini susulan, tular keratan notis iklan oleh Jabatan Perhutanan  Selangor untuk mengeluarkan keluasan itu dari kawasan Hutan Simpan Kuala  Langat Utara yang disiarkan di akhbar utama pada 5 Feb lalu. 

Setiausaha Agung Otai Reformis, Abdul Razak Ismail (duduk) menunjukkan plakad ‘selamatkan hutan kita’.Ia kemudian mengundang pihak berkepentingan di daerah itu membantah  cadangan itu dalam tempoh 30 hari selaras dengan Kaedah-kaedah  Penyiasatan Awam (Selangor) 2014, serta Enakmen Akta Perhutanan Negara  (Pemakaian) 1985, yang memperuntukkan (peletakan notis) wajib sebelum  rizab hutan boleh dibatalkan.
 Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata status tanah di hutan simpan itu  pernah ditukar pada 1994 sewaktu pentadbiran Barisan Nasional iaitu  sebanyak 1,000 ekar sejak ia diwartakan pada 1927.
 Beliau mempersoalkan sama ada Amirudin memiliki hasrat untuk “pecah  rekod” kerajaan terdahulu dengan mengeluarkan 2,300 ekar dari kawasan  hutan simpan kekal berkenaan.
“Kamu nak pecah rekod Umno dan BN ke? Mereka mansuh baru 1,000 ekar.
 “Kamu baru sahaja (menjadi MB) dah nak mansuh lebih 2,000. Ini, 2 kali ganda zaman Umno,” katanya.
 Tambahnya lagi, beliau sudah memberikan tempoh selama 7 hari kepada  Jabatan Perhutanan Negeri untuk menarik balik notis tersebut dan  memperhalusi penyelesaian terbaik mengenainya.
 “Kalau tidak ada apa-apa, saya dah bercadang dengan penduduk Orang  Asli untuk buat sekatan di depan pejabat SUK negeri sebagai isyarat  bantahan,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/02/mb-selangor-diberi-amaran-selepas.html