Mat Hasan Pemutihan Pastikan Anggota Wujud Aktif
Haspaizi Zain
Umno kini sedang melaksanakan proses pemutihan keahlian parti itu bagi mengenal pasti anggotanya yang benar-benar wujud serta bergerak aktif bersama parti.
Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas presiden, Mohamad Hasan berkata proses pemutihan itu dijangka akan berakhir 15 Jan ini.
"Memutihkan (senarai anggota) tidak lagi bersama dengan kita (Umno), keluarkan nama ini daripada senarai nama ahli, (anggota) tidak dapat dikesan, meninggal dunia akan dikeluarkan supaya keahlian Umno yang ada nanti (adalah) anggota yang benar wujud dan bergerak aktif dalam parti.
"Ia juga memudahkan cawangan dan bahagian untuk mengurus. Seperti disebutkan baru-baru ini, hasrat parti untuk berikan banyak kuasa kepada negeri dan bahagian," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno lewat malam tadi di Kuala Lumpur.
Proses pemutihan keanggotaan Umno adalah antara langkah yang diambil bagi mengembalikan kekuatan parti itu selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu.
Selain itu, antara yang turut digariskan Umno ialah menurunkan kuasa ke peringkat akar umbi supaya pemimpin di peringkat negeri, cawangan dan bahagian dapat memainkan peranan masing-masing.
Mohamad kini memikul tanggungjawab dalam usaha memulihkan kembali parti itu selepas Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil keputusan untuk "berehat" dan meyerahkan tugas presiden kepadanya.
Ahmad Zahid mengambil keputusan itu bagi meredakan ketegangan ekoran tindakan sekumpulan wakil rakyat Umno bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.
Sementara itu pada sidang media itu juga Mohamad turut mengumumkan mesyuarat Umno peringkat cawangan akan berlangsung lebih dua bulan bermula Februari sehingga 31 April.
"Kali ini tempoh mesyuarat cawangan agak panjang, selalu sebulan setengah, kali ini dua bulan setengah. Kita mahu beri peluang kepada bahagian yang ada 200 lebih cawangan tidak terhimpit dengan kekangan waktu agak pendek.
"Dulu mesyuarat, banyak berdepan kekangan. Kini kepemimpinan bahagian boleh hadiri meyusarat cawangan untuk berikan semangat dan jelaskan hala tuju parti di peringkat cawangan serta dapat memberi penerangan tentang dapa strategi yang akan kita susun atur, yang akan kita turun setiap negeri dan bahagian.
"Kita putuskan untuk mengadakan mesyuarat Umno bahagian bermula 15 Jun sehingga 13 Jul dan tarikh perhimpunan agung Umno akan ditetapkan pada bulan 8, 9 ataupun 10," katanya.
LIHAT VIDEO DI SINI
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/01/mat-hasan-pemutihan-pastikan-anggota.html