Mari Rakyat Malaysia Doakan Dr Tehah
Mari Rakyat Malaysia Doakan Dr Tehah. Anda pasti sudah membaca berkenaan seorang doktor wanita yang hamil dan dijangkiti virus Covid-19. Bukan beliau sahaja tetapi semua ahli keluarga iaitu suami dan anak-anak beliau juga positif Covid-19.
Mari Rakyat Malaysia Doakan Dr Tehah
“Saya cuma minta semua rakyat Malaysia tolong doakan kesembuhan isteri dan anak-anak saya,” kata suami kepada Dr Fatihah Shahrudin, 29, yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh akibat dijangkiti Covid-19 dan selamat melahirkan bayi mereka, malam kelmarin.
Sebagai suami dan bapa, kata pekerja swasta berusia 39 tahun yang enggan dikenali itu, baginya doa lebih menenangkan hatinya dan ahli keluarga yang sedang menghadapi dugaan berat apabila disahkan positif Covid-19.
“Sedihnya isteri masih lagi intubasi, bius sepenuhnya. Mungkin dalam hari ini (malam tadi) doktor akan pantau dia, tengok keadaan macam mana.
“Jika keadaannya bertambah baik, harap boleh tanggalkan alat bantuan pernafasan. Itulah harapan saya dan ahli keluarga.
“Doktor cakap macam itulah, kalau isteri tak ada apa komplikasi, dia akan buka alat itu. Memang doktor maklumkan keadaan isteri kepada saya dari semasa ke semasa,” katanya.
Menurutnya, ketika isterinya yang hamil 29 minggu selamat melahirkan anak ketiga mereka yang juga bayi perempuan, dia dan dua lagi anaknya masih menjalani kuarantin di rumah akibat positif Covid-19.
Katanya, dia dan anak lelaki berusia tiga tahun dan anak perempuan berumur dua tahun bakal tamat kuarantin 11 Jun ini selepas mereka dikesan positif Covid-19, 1 Jun lalu.
“Saya ucapkan terima kasih kepada saudara dan jiran berdekatan yang membantu menghantar makanan kepada kami.
“Syukur, Alhamdulillah, saya juga amat mengharapkan doa semua rakyat Malaysia untuk kami terutama isteri kembali pulih,” katanya yang bercakap dalam keadaan terbatuk-batuk.
Menurutnya, bayi mereka sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal Hospital Sungai Buloh.
Sementara itu, bapa saudara Dr Fatihah, Mohd Ali Mohd Derus, 48, berkata, anak saudaranya yang kini dalam intubasi pada mulanya dimasukkan ke Hospital Kajang, 30 Mei lalu selepas dimaklumkan dijangkiti kuman pada paru-parunya sebelum positif Covid-19 sehari kemudian.
“Pada 3 Jun lalu, dia dipindahkan ke ICU Hospital Kajang sebelum dihantar ke ICU Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lebih rapi,” katanya.
Menurutnya, Dr Fatihah bertugas di Hospital Kajang namun tidak mengendalikan kes berkaitan Covid-19.
“Selain suami dan anak, adik Dr Fatihah serta ibu dan ayahnya juga disahkan positif Covid-19. Tehah (Dr Fatihah) memang kerap hantar anak mereka untuk dijaga ibu bapanya di Beranang, Selangor disebabkan rumah mereka dekat,” katanya.
Kisah Dr Fatihah sebelum ini dikongsi menerusi satu ciapan di laman Twitter Public Health Malaysia selain ramai pengguna media sosial itu turut mendoakan supaya dia dan bayinya selamat.
Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata, mereka sekeluarga tidak putus-putus mendoakan supaya Dr Fatihah dan keluarganya segera pulih dan mengharapkan pandemik ini cepat reda.
“Mohon semua untuk doakan Dr Fatihah dan keluarganya. Terima kasih kepada semua doktor dan petugas barisan hadapan yang terus gagah menyempurnakan tugas merawat pesakit Covid-19,” katanya. -Metro Online-
The post Mari Rakyat Malaysia Doakan Dr Tehah first appeared on Berita Viral Terkini.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://beritaviralterkini.com/mari-rakyat-malaysia-doakan-dr-tehah/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=mari-rakyat-malaysia-doakan-dr-tehah