Marah Kerana Tak Bagi Tanam Ketum
Bekas Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Zahidi Zainul Abidin berkata kerajaan wajar memikirkan cara membantu pekebun kecil menambah pendapatan, bukannya mengharamkan ketum ditanam.
Katanya dalam keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan seperti sekarang pendapatan petani dan pekebun kecil memang terjejas.
Justeru katanya kerajaan wajar mencari jalan alternatif bagi meringankan kesempitan mereka, termasuk menjalankan penanaman ketum.
Dalam keadaan harga getah dan sawit jatuh sekarang, ketum adalah alternatif terbaik kepada pekebun kecil.Dan memandangkan kerajaan tidak bagi subsidi dan pemberian bantuan itu dibayar secara sekali (one-off), kerajaan perlu memikirkan tanaman yang boleh membantu pekebun kecil,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Zahidi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin mengenai keputusan bahawa Jawatankuasa Bertindak Pasukan Penguatkuasaan Undang-undang untuk membawa cadangan mengharamkan penanaman ketum di negara ini ke mesyuarat kabinet akan datang.
Mengulas lanjut, anggota Parlimen Padang Besar itu berkata banyak negara mengusahakan tanaman ketum dan ia bukan suatu masalah, termasuk di Thailand.
Ketum diiktiraf pakar
“Sekarang ini banyak negara dah luluskan tanaman ketum dan Thailand baru ini pun dah luluskan ketum.
"Banyak lagi negara lain dah luluskan ketum ini termasuk ganja tapi kita bukan nak luluskan ganja,” katanya.
Tambah Zahidi, beliau juga turut menasihatkan Muhyiddin yang juga presiden Bersatu itu supaya tidak menyibuk dalam isu ketum.
“Ketum tertakluk di bawah Akta Racun 1952 dan ia berada dalam bidang kuasa Kementerian Kesihatan, bukan kementerian dia (Muhyiddin).
“Isu pekerja asing pun tak selesai lagi, banyak isu dalam KDN pun tak diatasi, jadi janganlah nak masuk kementerian orang lain pula,” tambahnya.
Zahidi semasa mengetuai Risda berjanji akan meneruskan usaha meyakinkan kerajaan BN - ketika itu - untuk membenarkan pekebun-pekebun kecil di negara ini menjalankan usaha menanam ketum.
Zahidi berkata penanaman ketum boleh meningkatkan pendapatan pekebun-pekebun kecil ekoran nilai perubatannya yang tinggi yang diiktiraf pakar-pakar luar dari India dan AS.
Melalui cadangan itu, Zahidi berkata pekebun kecil yang terlibat perlu dilesenkan sebelum boleh menanam ketum ini dan pengawalan akan diterajui Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi membendung sebarang penyalahgunaan hasil tanaman terbabit
Malaysiakini
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://bankami.blogspot.com/2018/11/marah-kerana-tak-bagi-tanam-ketum.html