Manfaat Dan Penggunaan Tenaga Atom Diperluas
KUALA LUMPUR: Pernyataan Polisi Pengawalseliaan Keselamatan Nuklear dan Sinaran diluluskan kerajaan akan menjadi pemangkin kepada pematuhan keselamatan penggunaan tenaga atom dalam bidang industri, penyelidikan, perubatan dan bidang berkaitan lain.
Ia diluluskan Jemaah Menteri pada 17 Jun lalu terhadap pemegang lesen terbabit, sekali gus menjadi kawalan perundangan yang cekap oleh pihak berkuasa ke atas sebarang aktiviti penggunaan tenaga atom dalam negara.
Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dalam kenyataan hari ini berkata polisi yang dibangunkan di bawah skop tadbir urus Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) itu juga merupakan komitmen kerajaan dalam menjamin keselamatan nuklear dan sinaran.
“Polisi ini adalah asas kepada sebarang perundangan yang akan digubal pada masa hadapan bagi melindungi pekerja, alam sekitar, orang awam dan generasi hadapan daripada sebarang risiko dedahan atau pencemaran.
“Pernyataan polisi ini menekankan amalan budaya keselamatan melalui pematuhan terhadap parameter dan standard keselamatan sinaran dan nuklear yang selari dengan amalan terbaik antarabangsa yang disyorkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa,” kata AELB dalam kenyataan itu.
Menurut AELB, tahap pematuhan keselamatan nuklear dan sinaran yang tinggi akan meningkatkan keyakinan pihak pengeluar teknologi dari luar negara dan akan memberi faedah kepada pembangunan sains, teknologi, perkembangan industri dan pendidikan dalam negara.
“Penekanan aspek pembudayaan keselamatan melalui polisi ini akan memperkukuhkan keupayaan kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan untuk sebarang pengurusan insiden nuklear dan radiologi,” katanya.
Menurut kenyataan itu, polisi yang dibangunkan itu juga merupakan suatu usaha untuk meningkatkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap kesungguhan dan keupayaan kawalan perundangan tenaga atom di negara ini.
“Polisi itu dibangunkan dengan teliti secara kolektif melibatkan pihak berkepentingan seperti kementerian, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam menerusi sesi libat urus dan kajian soal selidik yang dilaksanakan dari 2016 hingga 2019,” katanya. – BERNAMA
Hibur Hibur SikitH2S Pilihan: 01 -Dikir Barat PAS
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.ibnuhasyim.com/2020/07/manfaat-dan-penggunaan-tenaga-atom.html