Malaysia Yang Tidak Kita Mahu
Oleh MOHD AZMI ABDUL HAMID
UMUR 62 tahun bagi kemerdekaan sebuah negara adalah tempoh yang cukup lama. Cukup lama untuk tahu apa yang baik dan tidak untuk negara.
Memang, melalui proses pembangunan daripada sebuah negara yang pernah dijajah oleh lima bangsa, meninggalkan kesan lama untuk dipulihkan. Legasi yang ditinggalkan oleh penjajah sedikit sebanyak akan mempengaruhi cara negara ditadbir.
Pelbagai bidang pembangunan dirancang, dilaksana dan ditambah baik untuk menuju kepada negara yang berdaulat dan membangun setaraf dengan negara maju lain. Setelah negara bergerak dari satu tahap ke satu tahap, mengikut sistem demokrasi dan perundangan sedia ada, pelbagai kemajuan dicapai. Pengurusan ekonomi, sistem pendidikan, pertanian dan pembangunan kemudahan asas, semua bidang ini dimajukan oleh kerajaan sesuai dengan cara difikirkan terbaik untuk rakyat.
Namun dalam proses membangun, negara terpaksa menerima kesan negatif akibat daripada sistem yang ditinggalkan penjajah dan urus tadbir yang tidak dikendalikan dengan betul. Maka mulalah negara ini berdepan dengan krisis demi krisis.
Misalnya, hutang yang semakin tinggi, amalan rasuah masih kronik, kelunturan budaya dan bahasa kebangsaan, pengurusan sumber alam tidak mapan, status sosial rapuh, sentimen perkauman semakin tajam, politik pecah-belah yang menggugat keharmonian awam dan jurang kaya miskin semakin melebar. Melihat statistik kedudukan negara, ia menyebabkan kita harus bertanya adakah ini Malaysia yang kita mahukan?
Hutang rasmi kerajaan Persekutuan berjumlah RM686.8 bilion (50.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar), komitmen jaminan kerajaan berjumlah RM199.1 bilion (14.6 peratus KDNK) dan komitmen bayaran pajakan bagi projek awam-swasta sebanyak RM201.4 bilion (14.9 peratus KDNK).
Jumlah tanggungan kerajaan dianggar lebih RM1 trilion manakala kadar muflis pada peringkat usia 35 hingga 54 tahun mewakili 60.77 peratus yang terbabit dalam kebankrapan.
Indeks Persepsi Rasuah pada 2018 meletakkan negara pada kedudukan 61 daripada 182 negara dan skor 47 dari 100. Rasuah telah menyebabkan negara hilang RM47 bilion daripada KDNK sepanjang tahun lepas. Bermakna masih jauh untuk melahirkan Malaysia sebagai negara bersih daripada rasuah.
Kadar pengangguran pada November 2018 pula kekal 3.3 peratus sejak September. Bilangan penganggur yang direkodkan ialah 516,200 orang, naik 2.2 peratus berbanding November 2017.
Kita masih berdepan dengan kes penyakit kronik seperti diabetes, kanser, hipertensi dan kardiovaskular yang tinggi. Tabiat berjudi, merokok dan minum arak semakin berleluasa.
Angka kematian akibat kemalangan di jalan raya mengerikan iaitu 6,000 maut setiap tahun. Anak luar nikah dikatakan seorang bagi setiap 17 minit. Ditambah pula gejala buang anak menjadi-jadi, sehingga terpaksa diwujudkan baby hatchers. Kadar jenayah juga bertambah, kerosakan dan pencemaran alam sekitar kritikal serta kadar penceraian dan keruntuhan institusi keluarga yang tinggi.
Di samping itu, kita terus menyaksikan tabiat pembaziran. Kini timbunan sampah meningkat sehingga perlu mencari tapak pelupusan sampah yang baharu. Untuk menambah rumitkan lagi, gejala sosial seperti penagihan dadah, rempit, pelacuran dan pornografi menjadikan masa depan anak muda terjejas.
Itu adalah tanda yang sepatutnya mencemaskan semua pihak. Sementara negara ini nampak hebat dengan prasarana semakin canggih dan lengkap, ia tidak semestinya melambangkan negara sedang bergerak ke arah yang kita mahu. Terlalu banyak status sosio-ekonomi yang tidak kita mahu akan tetapi menjadi realiti yang sukar ditukar.
Kita hanya ada satu pilihan. Berusaha untuk mengubah realiti yang rosak. Soal yang harus diinsafi, adakah dengan realiti ini Malaysia akan mempunyai masa depan yang baik untuk generasi mendatang?
* Penulis ialah Presiden majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/05/malaysia-yang-tidak-kita-mahu.html