Malaysia Mendahului Amerika
Amerika Syarikat negara paling kaya di dunia. Paling berkuasa. Itu sekadar memberitahu apa yang semua orang sudah tahu. Stating the obvious, kata orang putih.
Tapi ada benda negara itu ketinggalan berbanding kita. Ya, kita Malaysia. Dalam beberapa hal mereka ketinggalan walaupun ia lebih maju daripada kita.
Begini. Pada bulan Mac lalu sahaja kira kira 16 juta warga Amerika hilang pekerjaan akibat krisis ekonomi akibat wabak virus korona. Lalu Kongres meluluskan pakej bantuan kewangan bernilai AS$2 trillion .
Sebahagian daripada jumlah itu disalurkan terus kepada rakyat yang sedang menderita. Namun BBC baru baru ini melaporkan nama Presiden Donald Trump akan dicetak atas kertas cek yang dihantar kepada jutaaan rakyat Amerika yang sedang dihimpit kesusahan.
Ini adalah kali pertama nama seorang presiden Amerika Syarikat muncul dalam apa jua bentuk bantuan yang diberi kerajaan persekutuan. Lantas munculnya nama Trump dikertas cek bantuan dikritik keras pelbagai pihak.
Ketika ditanya media mengenai isu itu, Trump berkata beliau “tidak terlalu tahu" akan hal berkenaan. Pun begitu Trump berkata “people will be very happy to get a big, fat, beautiful cheque and my name is on it" (“rakyat akan gembira menerima cek yang nilainya besar dan nama saya di atasnya”).
Nina Olsen, bekas pegawai kanan perkhidmatan hasil dalam negeri memberitahu The Washington Post bahawa perkara seumpamanya tidak pernah berlaku dan urusan ini mesti bebas daripada unsur politik."It’s that simple,” katanya.
Sudah lama dibuat di Malaysia
Senator Chris Murphy dari Connecticut ,di mana ada sekurang-kurangnya 3,500 kes Covid-19 (ketika artikel ini ditulis ) menuduh Trump meletakkan dirinya dahulu sebelum negara – “Trump first America second”.
Pengkritik terus mengkritik dan melihat Trump bermain politik, dengan menggunakan bantuan kewangan untk menaikkan reputasinya pada tahun pilihan raya akan diadakan. Pilihan raya presidens Amerika dijadual November ini.
Kesimpulannya di Amerika hal ini sedang kecoh dan keadaan jadi kelam kabut. Sebabnya Trump dilihat menggunakan bantuan kewangan untuk berkempen meraih undi.
Hatta saya katakan sekali lagi Amerika khususnya Trump ketinggalan. Amalan kempen macam ini sudah lama kita di negara tercinta ini saksikan. Kita tenang saja. Cool.
Saya ingat satu ucapan Tengku Razaleigh Hamzah, selaku presiden parti Semangat 46 ketika itu, mendakwa kerajaan BN boleh memberi bermacam-macam ganjaran kepada rakyat untuk mendapatkan undi. Ini kata beliau termasuk lah basikal "buruk". Ucapan itu ketika beliau berkempen menghadapi pilihan raya umum 1990.
Allahyarham tuan guru Nik Aziz Nik Mat juga pernah dilapor berkata apabila Umno datang bagi hadiah rakyat boleh terima (tapi jangan undi mereka). Apa yang ditonjolkan ialah amalan memberi ganjaran untuk dapat undi.
Di Amerika nama Trump dicetak atas cek bantuan kewangan heboh diperkatakan. Di sini kita tahu dan ada antara kita yang pernah nampak sampul ang pow dengan nama dan gambar sang politikus diedarkan khususnya menjelang pilihan raya.
Paling tidak, logo parti politik tertera jelas atas sampul. Ini bagi memastikan penerima tahu siapa yang memberi. Dalam erti kata lain berkempen lah tu.
Bukan setakat sampul ang pow. Ada juga kampit beras dengan logo parti. Ada juga logo tertampal bangga atas pembalut hadian untuk kain pelikat, telekung. Dan macam macam lagi. Semua ada logo parti. Ada nama politikus.
Dan semua hadiah dibekalkan bukan sahaja masa pilihan raya. Ketika banjir pun ada. Ketika rumah terbakar. Waktu keramaian. Menjelang Hari Raya. Semua ada, no problem.
Masa sekarang pun, ye masa wabak Covid-19 ni ada juga berlaku. Diberitakan ada kampit beras atau beg diisi barang keperluan ditampal logo parti dan gambar sang politikus yang bermurah hati.
Hai Amerika orang dah lama buat korang baru nak mula. Mr President, we beat you to it man.
Penulis : MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.
-Malaysiakini
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://majalahwarisan.blogspot.com/2020/04/malaysia-mendahului-amerika.html