Malaysia Menanglah
Selasa lalu, 3 Mei 2022, saya membuat “posting” di Facebook mengucapkan Selamat Hari Raya kepada warga Singapura sambil berkata, ada juga perkara yang Malaysia dahului Singapura. Kita beraya sehari awal, kita raya dulu. Selainnya kita ketinggalan, ditinggalkan Singapura.
Saya berkata demikian kerana republik itu diakui untuk sekian lama sudah mencapai taraf negara maju. Tidak perlu dihurai lanjut. Hakikatnya, Singapura kalahkan kita. Pada hemat saya.
Sebenarnya saya kurang tepat, malah salah. Ada banyak perkara Malaysia menang.
Orang Melayu Singapura beraya satu hari. Kami, orang Melayu Islam di Malaysia beraya satu bulan brader. Berapa hari kamu cuti? Satu? Sorry bro, kami cuti sembilan hari paling minimum, tanpa perlu mohon cuti tahunan. Okeylah kalau ambil pun, satu dua hari saja cuti tahunan untuk dapat sembilan hari “total”. Power kan?
Hari Raya ketujuh, perdana menteri kami mengadakan rumah terbuka. Besar-besaran. Korang ada? Meriah habis. Makanan lazat “berlambak”. Apa salahnya? Untuk Raya, setahun sekali.
Kami hilang berbilion ringgit, tetapi masih boleh buat macam-macam. Masih boleh sambut perayaan dengan mewah. Kami tak hairan skandal 1MDB. Korang mampu?
Dan kami ada semangat bermaaf-maafan. Kami sudah maafkan siapa sahaja yang buat salah. Walaupun orang yang mahkamah kata bersalah, kami maafkan. Buang yang keruh ambil yang jernih. Kami rai Hari Raya bersama-sama. Sebelum hari baik, bulan baik ini pun kami dah maafkan. Betapa mulianya kami betul tak? Kami golongan pemaaf lah katakan.
PM kami sekarang ialah yang ketiga sejak 2018. Pilihan raya satu kali, dapat tiga PM. Hebatkan? Korang tak terlawan. Kami menang.
Semua ini hasil kejayaan apa yang kami panggil Langkah Sheraton. Kalau mahu tahu rahsianya, menteri Singapura boleh belajar daripada menteri kami. Bab ini kami mendahului kamu.
Kabinet PM kami ada 32 menteri. PM sebelum ini pun ada 32 menteri dalam Kabinetnya. Itu belum campur timbalan menteri dan penasihat PM yang bertaraf menteri. Singapura kamu paling ramai ada 20 menteri, termasuk perdana menteri. Malaysia menang lagi, meskipun kamu negara maju.
Bab ini kami tahu kami pasti menang kerana jumlah penduduk negara kamu hanya lima juta kan? Maka, tentulah kami memerlukan Kabinet yang besar untuk urus tadbir negara kami yang lebih besar daripada negara kamu.
Namun, realitinya Kabinet kami juga lebih besar dan bilangan anggotanya lebih ramai daripada Jemaah Menteri Pak Jokowi, presiden Indonesia. Walaupun Indonesia lebih besar dan populasinya kira-kira 276 juta berbanding 32.7 juta populasi kami. Apapun, dalam aspek ini, kami kalahkan Singapura dan Indonesia.
Baiklah, berbeza dengan kami, kamu sudah pilih bakal PM yang dijangka mengambil alih Lee Hsien Loong kelak. Lawrence Wong namanya. Tahniah. Beliau cukup bijak dan pemegang ijazah berganda antaranya. Kelayakan menakjubkan.
Dan beliau juga ada seni. Boleh bermain gitar dengan baik dan bernyanyi. Tetapi, menteri kami juga berseni. Jangan pandang enteng akan keseniannya. Ada kalangan mereka mahir membuat orang ramai ketawa dan tergelak. Amat melucukan. Jelas kami tak mengalah.
Mari bercakap mengenai makanan pula. Kami ada rojak Singapura. Korang sendiri tidak ada tu, kalau tak silap saya. Macam mi bandung Muar. Tidak ada di Bandung Indonesia, cuma ada di Malaysia, terutamanya di Muar, Johor. Rojak Singapura pula ada di Malaysia, tidak ada di Singapura. Betul tak?
“Terrer” kan Malaysia? Ada lagi benda yang kami menang. Tetapi, cukuplah setakat ini, sebelum dituduh takbur dan riak.
Oleh kerana kami, orang Melayu Malaysia menyambut Aidilfitri selama satu bulan, saya ucapkan sekali lagi kepada warga Singapura (dan warga Malaysia juga) Selamat Hari Raya, maaf zahir batin. Meskipun 1 Syawal dah berhari-hari berlalu, jangan marah aaar. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/05/malaysia-menanglah.html