Malaysia Baharu Haru Biru Akibat Dosa Politik Tun M
Rakyat khususnya orang Melayu berhak bertanya Tun Dr.Mahathir Mohamad, apa sudah jadi dengan Malaysia Baharu? Dari semasa ke semasa semakin bercelaru dan haru biru.
Ada pihak mempertahankan perhimpunan menyokong LGBT di Putrajaya, ahli politik mengkritik keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara kepada seorang lelaki menghina nabi dan pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) membela DAP yang dianggap biadab kerana mengecam kerjasama UMNO-Pas.
Apakah ini kesannya apabila Dr.Mahathir dalam usaha menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum PRU-14 begitu beria-ia mempertahankan kebebasan bersuara, amalan demokrasi yang dilihat tidak terbatas dan sanggup tunduk kepada pemimpin DAP kerana dendam politik?
Bahananya, golongan LGBT semakin berani bersuara menuntut hak mereka, apabila ditegur oleh Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail, anak Dr.Mahathir mengkritik Timbalan Perdana Menteri itu, maklumlah cucu Perdana Menteri pun turut serta dalam perhimpunan berkenaan.
DAP pula semakin besar kepala. Kerjasama UMNO-Pas ditentang habis-habisan walaupun ia demi penyatuan ummah.
Penyatuan itu digambarkan akan membawa pemerintahan Taliban ke negara ini, tiada langsung rasa hormat mereka kepada usaha menyatukan umat Islam.
Dr.Mahathir pula dalam fikiran seolah-olah tidak ada benda lain mahu dikaitkan dengan UMNO, selain, Najib, 1MDB, Najib, 1MDB hinggakan kerjasama itu pun dianggap usaha membebaskan Najib.
Malaysia Baharu menjadi haru biru kerana Dr.Mahathir yang dianggap pemimpin bijak terpaksa bekerja dengan beberapa menteri yang kadang kala berperangai seperti badut.
Mereka membuat kenyataan tanpa berfikir panjang sehingga akhirnya menyebabkan kerajaan dikecam. Ada pula yang mempertahankan DAP habis-habisan kerana mungkin sudah terhutang budi.
Tetapi semua itu berlaku kerana Dr.Mahathir membentuk Malaysia Baharu dalam keadaan tergopoh-gapah dan dipenuhi janji-janji palsu. Tanpa menduga PH akan menang, Dr.Mahathir hanya mengganguk sahaja apa yang dijanjikan oleh pakatan itu kerana apa yang penting BN, UMNO dan Najib disingkirkan.
Apabila ia tidak dapat dilaksanakan Dr.Mahathir berdalih menyatakan manifesto bukan kita suci yang wajib dipatuhi.
Dan Dr.Mahathir juga bertanggungjawab memungkinkan DAP dilihat cukup berkuasa sama ada di peringkat kerajaan mahupun parti.
Sebab itulah kita lihat pemimpin-pemimpin DAP tidak pernah rasa takut untuk membuat kenyataan yang menggores perasaan orang Melayu.
Ia kerana mereka tahu apa Dr.Mahathir boleh buat, beliau menjadi Perdana Menteri pun hasil sokongan DAP, kalau DAP menarik balik sokongan itu, semua orang memahami apa akan terjadi.
Kalaulah apa yang dihujahkan, tidak betul, Dr.Mahathir perlu menghentikan tindakan pihak tertentu memperalatkan kebebasan bersuara tidak bertempat seperti memperjuangkan hak LGBT, walaupun kita tahu anak dan cucu beliau menyokong kumpulan mereka tetapi ia adalah tuntutan tidak bermoral dan amat bertentangan dengan tatasusila masyarakat negara ini serta agama Islam.
Lagipun kita amat tahu sentimen Dr.Mahathir dalam soal LGBT, apa yang perlu beliau lakukan ialah menunjukkan ketegasan.
Begitu juga dengan DAP, Dr.Mahathir perlu berani menegur pemimpin-pemimpin parti tersebut supaya jangan melampaui batas dalam bercakap perkara berkaitan orang Melayu dan umat Islam walaupun kita faham Dr.Mahathir pun selalu dilihat memperlekehkan orang Melayu.
Selain itu, rombakan Kabinet perlu dilakukan, mana-mana menteri atau timbalan menteri yang dilihat `tidak cerdik’ gugurkan sahaja.
Dr.Mahathir juga tidak harus memandang buruk kerjasama UMNO-Pas. Beliau tidak perlun takut apa-apa kerana bukankah parti-parti dalam PH hebat-hebat belaka.
Apakah Dr.Mahathirpun tidak percaya kepada kekuatan Bersatu untuk melawat UMNO atau `kehebatan’ Amanah melawan Pas? Sama ada kerjasama itu akan berjaya atau tidak, biarlah rakyat menentukan,
Dr.Mahathir tumpulah perhatian kepada Malaysia Baharu yang semakin haru biru akibat maneuver politik beliau dan janganlah sampai orang melihat apa yang berlaku kepada negara sekarang disebabkan `dosa-dosa politik’ pemimpin berusia 94 tahun tersebut.
Dr.Mahathir ada kesempatan untuk memperbetulkan semua ini. Lakukanlah!
oleh Zulkiflee Bakar
Utusan
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/03/11/malaysia-baharu-haru-biru-akibat-dosa-politik-tun-m/