Makyung Patuh Syariah Dapat Sambutan Di Kelantan
Bernama
Persembahan tradisional rakyat Kelantan iaitu makyung yang dipersembahkan secara patuh syariah telah mendapat sambutan daripada masyarakat negeri ini selepas tiga siri jelajah persembahan itu dilakukan.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata sebelum ini, persembahan itu telah dilakukan di Tanah Merah, Jeli dan terkini di Pasir Mas.
"Sepanjang siri jelajah itu dilakukan ia mendapat sambutan dan telah diterima oleh masyarakat negeri ini walaupun persembahan seni tradisional itu diubah suai dan diharmonikan.
"Makyung patuh syariah dalam persembahan tiada melibatkan peserta wanita dan jalan cerita memberikan manfaat kepada masyarakat selain tiada unsur-unsur ritual," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jejak Warisan dan Jelajah Makyung Patuh Syariah Sempena Tahun Melawat Kelantan 2020 di Dewan Apam Putra Lubuk Jong di Pasir Mas, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan negeri akan membenarkan persembahan tarian tradisional makyung di Kelantan sekiranya mematuhi syariat Islam.
Md Anizam berkata makyung patuh syariah yang dipersembahkan itu dilakukan dengan beberapa penambahbaikan iaitu mengetengahkan pelakon lelaki, penceritaan rakyat dengan unsur nasihat serta elemen kesenian yang menggambarkan kebudayaan Kelantan.
"Ia juga tidak melibatkan unsur pemujaan dan mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan (JKKK) Rosnan Abdul Rahman berkata persembahan patuh syariah melibatkan persembahan yang tidak mempunyai unsur-unsur ritual pembukaan panggung, melibatkan watak-watak perempuan namun struktur asal persembahan masih dikekalkan.
"Kita masih kekalkan pakaian, alat muzik seperti persembahan sebelum ini...jadi ia bukan isu yang besar untuk kita pertikaikan asalkan persembahan ini kembali boleh dipertontonkan kepada masyarakat ia sudah menjadi kejayaan besar kepada kami.
"Jangan keliru persembahan makyung tidak ada kena-mengena dengan gender...contohnya watak utama makyung dipanggil Pak Yong yang watak itu turut dipegang oleh wanita, persembahan makyung adalah nama khas tarian muzik itu," katanya.- Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/makyung-patuh-syariah-dapat-sambutan-di.html