Maksud Jarak Rasulullah Saw Diutus Dan Hari Kiamat Seperti Dua Jari
SOALAN:
Boleh jelaskan tentang maksud jarak Nabi SAW diutus dengan hari Kiamat yang akan berlaku adalah seperti dua jari sepertimana disebut dalam sebuah hadith?
JAWAPAN:
Menjawab persoalan di atas, ia adalah berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’d R.A, Rasulullah SAW bersabda:
بُعِثْتُ أَنَا وَالسَّاعَةُ كَهَاتَيْنِ، وَيُشِيرُ بِإِصْبَعَيْهِ فَيَمُدُّ هُمَا
“Jarak diutusnya aku dan hari Kiamat seperti dua (jari) ini.” Baginda memberikan isyarat dengan kedua jarinya (jari telunjuk dan jari tengah), lalu merenggangkannya. [Riwayat al-Bukhari (6504) dan Muslim (2951)]
Makna hadith ini adalah sebagai isyarat dekat kerana hampirnya dua jari ini. Ia dengan maksud waktu yang berbaki adalah sedikit berbanding usia dunia yang sudah mencapai billion tahun. Justeru, tiadalah sama sesuatu di hadapan ilmu Allah yang menyamakan satu hari di sisi-Nya, dengan seribu tahun mengikut kiraan kita. (Lihat: Asyrat al-Sa’ah, hlm. 103)
Allah SWT berfirman:
وَإِنَّ يَوْمًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ
“Sesungguhnya sehari disisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun menurut perhitunganmu.” [Surah al-Haj (47)]
Imam al-Qurtubi menyebut: “Satu hari di sisi Tuhan kamu sama seperti seribu tahun mengikut kiraanmu.” Ibn Abbas berkata -begitu juga Mujahid-: “Yakni hari-hari yang Allah ciptakan padanya langit dan bumi.” Ikrimah pula berkata: “Yakni hari-hari akhirat.” (Lihat: al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 12/78)
Ibn Kathir menyebut: “Iaitu Allah SWT Maha Tinggi, Dia tidak mempercepatkan masa. Sesungguhnya kadar seribu tahun di sisi makhluk-Nya sama seperti sehari di sisi-Nya mengikut hukum-Nya. Ini kerana ilmu-Nya yang mampu membalas dan berkuasa, sedangkan sesuatu tidak luput darinya sekalipun dia menangguh dan menta’khirkannya.” (Lihat: Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/238)
Justeru, marilah sama-sama kita meningkatkan amalan dan memperbanyakkannya dengan penuh keikhlasan agar kita membawa bekalan sebaik-baiknya di hadapan Allah pada hari akhirat kelak. Benarlah firman Allah SWT:
وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ
“Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri.” [Surah al-Baqarah (197)]
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2020/01/maksud-jarak-rasulullah-saw-diutus-dan.html