Majlis Ulama Umno Siapa Untung Siapa Tak
freemalaysiatoday.com
Mohsin Abdullah
-January 20, 2023 9:00 AM
Diberitakan pembentukan majlis Ulama Umno pertama kali dicadangkan pada perhimpunan agung parti 12 tahun lalu. Ada yang kata 14 tahun lalu. Tak mengapa bila. Realitinya majlis itu sudah ditubuhkan oleh atau pada masa Zahid Hamidi memegang jawatan presiden Umno.
Oleh itu, Zahid “dapat nama” kerana waktu beliau presiden, Umno bergerak untuk “mengangkat Islam”. Ertinya bagus untuk Zahid. Untunglah beliau. Umno sendiri bagaimana? Ini kita bercakap pada segi politik kerana Umno parti politik. Lantas setiap langkahnya dikaitkan dengan untung rugi pada sisi politik.
Ada pihak melihat penubuhan majlis itu bertujuan menyekat kemaraan Gelombang Hijau yang berlaku pada PRU15 lalu. Ini mewujudkan saingan langsung dengan PAS. Penulis politik veteran, Mohd Sayuti Omar, menerusi blognya menyifatkan penubuhan majlis itu “tepat pada masanya”. Beliau percaya ia bakal mengubah landskap politik dalam Umno, secara tidak langsung ia meletakkan agama sebagai fungsi penting dalam parti.
Bak kata penganalisis politik, Oh Ei Sun, untuk sekian lama Umno dilihat parti ‘lebih Melayu daripada Islam’, mana kala PAS dilihat ‘lebih Islam daripada Melayu’. Setuju atau tidak terpulang tetapi begitu persepsinya. “Ramai yang anggap Umno 70% Melayu 30% Islam, dan PAS sebaliknya,” kata Oh.
Sekarang kata Sayuti, dengan penubuhan majlis Ulama Umno, ia meletakkan Umno satu “level” dengan PAS dari sudut organisasi. Majlis itu akan setanding dengan majlis syura PAS yang menjadi kuasa penentu dalam hal ehwal berkaitan agama, hukum, dan berijtihad tentang sesuatu yang diambil oleh PAS, katanya yang bertahun-tahun lamanya mengikuti perkembangan parti itu.
Justeru peranan majlis Ulama Umno menurutnya bukan sahaja untuk menghimpun agamawan menyertai parti, menjalin persaudaraan Islam dengan dunia luar, atau memperkasakan agenda dakwah dan tarbiah dalam Umno tetapi juga “mempertahankan Umno daripada diserang sebagai kafir atau dibobrokan sebagai parti yang ‘unislamic’.”
Berdasarkan itu untunglah Umno.
Saya setuju lalu teringat tahun 1980-an dengan ‘Amanat Hadi’ dan isu kafir-mengkafir antara PAS dengan Umno. Setuju juga saya dengan Oh yang mengatakan “religiosity” atau keagamaan aspek penting dalam politik Malaysia. “Umno sekarang sudah ‘upped the ante’ dan ia dengan PAS dalam pertandingan siapa parti Islam.”
Sebenarnya pada era 80-an Umno dan PAS berlumba-lumba cuba membuktikan siapa lebih Islam dengan pelbagai langkah dan tindakan seperti saya sebut pada artikel lalu.
Persoalan – dengan “berwajah Islam” melalui penubuhan majlis ulamnya, bolehkah Umno mengambil kembali sokongan Melayu yang beralih kepada PAS pada PRU15? Maksudnya menang semula kerusi yang hilang pada PRU 16 – jika pilihan raya di enam negeri di Semenanjung yang akan diadakan tahun ini terlalu awal untuk Umno lakukan sesuatu? Atau sekurang-kuranganya membantu Pakatan Harapan “make inroads” di Pantai Timur, kubu kuat PAS?
Jika ini terjadi untunglah PH.
Apa pun reaksi PAS terhadap penubuhan majlis ulama Umno pada hemat saya amat menarik. Parti itu mengalu-alukan adanya majlis berkenaan kerana ia mampu merapatkan hubungan kedua-dua parti. Begitu kata Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, seperti dilapor FMT semalam, Khamis 19 Jan 2023. Menurut beliau hubungan kedua-dua parti akan boleh dirapatkan melalui program berlandaskan Islam yang melangkaui perbezaan politik. Seterusnya Hashim berkata (ini cukup menarik perhatian saya), beliau langsung tidak menganggap majlis Ulama Umno sebagai pesaing kepada majlis Syura Ulama PAS.
Sememangnya kata-kata sedemikan boleh dilihat sebagai membawa erti PAS tidak gentar dengan adanya majlis Ulama Umno atau Umno bukan ancaman buat PAS dan sebagainya. Saya tidak mahu berkata itu semua kerana itu bagai menuduh PAS terlalu yakin, sombong, dan bongkak.
Yang bermain di minda tentulah implikasi politik kerana PAS seperti Umno sebuah parti politik.
Maka saya yang bertanya kepada diri sendiri – adakah itu bermaksud PAS akan cuba memikat atau menghidupkan semula Muafakat Nasional yang asal, bukan NGO pimpinan Annuar Musa sekarang. Atau ajak juga NGO itu? Atas nama ‘perpaduan’?
Ini saya tanya kerana Hashim turut berkata “kita terbuka dengan agenda perpaduan ummah sampai sekarang.” Lihat lagi apa kata beliau: “Kalau penubuhan dan matlamat dia sama tak jadi halangan bagi PAS untuk menyokong, untuk mencadangkan sesuatu aktiviti yang menguntungkan kedua-dua pihak.”
Matlamat penubuhan majlis Ulama Umno yang kita tahu ialah apa yang dijelaskan oleh Zahid ketika mengumumkannya pada Perhimpunan Agung Umno tempoh hari. Tidak perlulah saya ulangi.
Lalu tanya saya – apa agaknya “sesuatu aktiviti yang menguntungkan kedua-dua pihak” yang dikatakan Hashim? Kalau aktiviti politik selain aspek Muafakat Nasional yang disebut tadi ada mungkin ia membabitkan Umno tinggalkan rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan?
Jika begitu untunglah PAS, dan temannya Bersatu.
Apa akan jadi jika itu terjadi? Atau mungkinkah Umno setia kekal tetapi kerajaan perpaduan bertukar wajah condong ke kanan? “Rightist,” bak kata Inggeris. Namun ini pasti tidak disenangi penyokong serta pengundi yang berwajah kepelbagaian.
Perlu diingat kita bercakap mengenai politik yang membawa 1001 kemungkinan. Diulangi tajuk artikel ini siapa untung siapa tak.
Waullahualam. Kepada umat Islam selamat mendirikan solat Jumaat.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2023/01/majlis-ulama-umno-siapa-untung-siapa-tak.html