Mahkamah Tolak Permohonan Najib Tangguh Pendengaran Rayuan Src
Bernama
-April 5, 2021 2:10 PM
freemalaysiatoday.com
Bekas perdana Menteri Najib Razak merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
PUTRAJAYA: Rayuan Najib Razak terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd diteruskan hari ini selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk menangguhkan pendengarannya.
Panel tiga orang diketuai hakim Abdul Karim Abdul Jalil menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan itu selepas peguam Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bahawa mereka mempunyai bukti tambahan untuk dimasukkan dalam rayuan, termasuk keterangan berkaitan keluarga bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz.
“Kami sebulat suara dalam hal ini. Tiada alasan yang munasabah untuk menangguhkan pendengaran. Kami tidak membenarkan permohonan penangguhan,” kata Abdul Karim, yang mengetuai pendengaran rayuan itu bersama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.
Terdahulu Shafee berkata, mereka memerlukan sekurang-kurangnya penangguhan selama sebulan untuk mendapatkan dokumen berkaitan dari New York dan Singapura.
“Dokumen itu dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan turut melibatkan dakwaan terhadap keluarga Zeti. “Kami perlukan sekurang-kurangnya satu bulan untuk memasukkan bukti tambahan dalam penghujahan. Kami memohon untuk penangguhan pendengaran ini,” kata Shafee.
Sementara itu, timbalan pendakwa raya V Sithambaram membantah permohonan itu dengan berkata, mereka (pemohon) seharusnya mengemukakan permohonan lebih awal sebelum pendengaran rayuan bermula.
“Tiada alasan yang sah untuk meminta penangguhan. Kami berharap tiada lagi penangguhan dan memohon mahkamah meneruskan kes,” katanya.
Najib mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuannya tentang mengapa beliau harus dibebaskan daripada pertuduhan terbabit.
Pada 28 Julai tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, pecah amanah dan pengubahan wang haram ke atas Najib, serta 12 tahun penjara dan denda RM210 juta atau lima tahun penjara bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.
Bagaimanapun beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun berikutan hakim memerintahkan semua hukuman tersebut berjalan serentak.
Najib, 67, pada masa ini bebas dengan ikat jamin RM2 juta berserta dua penjamin sementara menunggu kes rayuan selesai.Enable GingerCannot connect to Ginger Check your internet connection
or reload the browserDisable in this text fieldRephraseRephrase current sentenceEdit in Ginger×
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2021/04/mahkamah-tolak-permohonan-najib-tangguh.html