Mahkamah Tinggi Tolak Permohonan Ibu Zayn Rayyan Tangguh Hukuman Penjara
Mahkamah Tinggi Tolak Permohonan Ibu Zayn Rayyan Tangguh Hukuman Penjara
SHAH ALAM, 23 Dis (Bernama) — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Ismanira Abdul Manaf untuk menangguhkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan terhadapnya kerana mengabaikan anak lelakinya, Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lepas.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendapati tiada keadaan khas yang membolehkan mahkamah membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan dalam kes berkenaan.
“Setelah meneliti afidavit pemohon dan responden, juga hujahan bertulis kedua-dua pihak dan mendengar hujahan lisan, mahkamah membuat keputusan bahawa permohonan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman ini ditolak kerana mahkamah dapati tiada apa-apa keadaan khas untuk membenarkan (permohonan),” katanya.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali dan Ahmad Iqbal Azman manakala pembelaan diwakili peguam Haresh Mahadevan yang dibantu oleh Ramzani Idris serta Lavanesh Haresh.
Ismanira, 30, memfailkan permohonan itu pada 19 Nov lepas.
Pada 31 Okt lepas, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira selepas wanita itu didapati bersalah mengabaikan anaknya yang juga adalah kanak-kanak autistik sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Hakim Dr Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Beliau memerintahkan Ismanira menjalani hukuman penjara bermula 31 Okt lepas, selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM3,000.
Ismanira turut diarah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Sumber: BERNAMA
BACA: Ismanira Didapati Bersalah Abai Zayn Rayyan – Mahkamah
The post Mahkamah Tinggi Tolak Permohonan Ibu Zayn Rayyan Tangguh Hukuman Penjara appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/23/mahkamah-tinggi-tolak-permohonan-ibu-zayn-rayyan-tangguh-hukuman-penjara/