Maaf Oleh Izmir Fareez
“Single baru Izmir Fareez yang berjudul
'Maaf' menyentuh isu kekeluargaan, suami yang tidak menghargai isteri dan
akhirnya menyesal diatas kematian isteri kerana tidak sempat untuk memohon maaf
kepada isteri.”
Demi meneruskan langkah dalam industri
muzik dan dakwah tanah air, Izmir Fareez kini mempertaruhkan single terbaru
berjudul 'Maaf' hasil ciptaan Akmalul Azmi sebagai pencipta lagu dan Izmir
Fareez sendiri sebagai penulis lirik.
Menurut Izmir Fareez, pengarah muzik dan
penerbit untuk lagu 'Maaf' ini adalah Along Exists dan pembantu penerbit,
Imtiaz dari kumpulan Simfoni.
Menurut Izmir Fareez lagi, pada asal lagu
'Maaf' ini dicipta pada tahun 2020, ianya bukanlah berkisarkan tentang
kekeluargaan tetapi ianya berkaitan tentang penceritaan kematian seseorang.
Setelah dipersembahkan lagu tersebut kepada Along, beliau mengatakan lagu
berbunyi 'jiwang 90an' ini tidak sesuai dengan lirik yang berat seperti
kematian kerana lagu yang berbunyi 'jiwang 90an' ini kebanyakannya akan
dikaitkan dengan kisah percintaan. Maka, beliau menyarankan agar tukar lirik
kematian kepada percintaan.
Akhirnya, lirik yang berkisarkan tentang
percintaan telah siap digubah oleh Izmir Fareez tetapi disebabkan saat dan
ketika itu Covid-19 yang semakin berleluasa di Malaysia, pergerakan terbatas ke
studio untuk membuat rakaman muzik dan vokal. Sehinggalah kerajaan mengumumkan
pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan, maka bermulalah rakaman muzik
dan vokal lagu 'Maaf' ini pada tahun 2021.
'Maaf' adalah sebuah lagu yang mengisahkan
perceritaan kehidupan seorang suami dan isteri setelah berkahwin selama 3
tahun. Setelah hidup berumahtangga yang mereka bina, hanya isteri seorang
sahaja yang menunjukkan rasa cinta dan kesetiaan kepada suami tanpa rasa jemu
dan lelah, tetapi suami semakin lama hidup berumahtangga semakin pudar cinta
dalam hatinya terhadap isteri. Sehinggalah isteri jatuh sakit dan meninggal
dunia, maka suami mula rasa kehilangan dan menyesal dengan pelakuan dan layanan
yang diberikan kepada isteri ketika hidupnya dan tiada lagi cinta dan kasih
sayang setelah isteri meninggalkan suami buat selama-lamanya. Penyesalan yang
dirasai oleh suami tidak dapat mengubah apa-apa kerana isteri tidak akan
kembali kepada suami buat selama lamanya. Hanya mengharapkan agar isteri
mengampunkan dosa suami di akhirat nanti.
Penggambaran video muzik lagu 'Maaf' yang
diarahkan oleh Ahmad Nasuha dari NSPIXTURES dijalankan selama dua hari di Alor
Setar dan Sungai Petani Kedah. Bagi setiap urusan penggambaran diuruskan oleh
Imtiaz dari kumpulan Simfoni selaku Pengurus Projek untuk lagu 'Maaf'.
Pelakon utama di dalam video muzik ini
adalah Arie Laso dan Aleya Trisya yang kedua-duanya juga merupakan model
pakaian lelaki dan perempuan.
'Pada asalnya memang kita hendak membuat
penggambaran muzik video ini di sekitar Kuala Lumpur tetapi disebabkan
pengarah, teknikal dan pelakon-pelakon menetap di utara, jadi kita membuat
keputusan untuk membuat penggambaran di sekitar negeri Kedah', ujar Izmir
Fareez.
Ditanya mengenai harapan Izmir Fareez
terhadap lagu ini, beliau menjawab, 'Saya berharap agar lagu ini dapat diterima
oleh seluruh lapisan masyarakat kerana lagu ini berunsurkan kekeluargaan yang
kita sendiri hadapi dan tempuhi di dalam kehidupan kita.'
Muzik video lagu 'Maaf' ini boleh ditonton
di laman Youtube rasmi Inteam Digital dan boleh didengari di platform digital
seperti Spotify, Joox, Itunes, Deezer, Kkbox atau boleh juga menerusi
permintaan lagu di stesen-stesen radio di tanah air.
Sebarang maklumat lanjut atau undangan
persembahan boleh berhubung terus dengan Imtiaz di talian 017-2558834.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://eyzamiel.blogspot.com/2022/04/maaf-oleh-izmir-fareez.html