Liza Hanim Harap Ayah Kuat Lawan Kanser
Liza Hanim memohon semua peminat dan orang ramai agar mendoakan kesihatan bapanya.
Penyanyi Liza Hanim memohon semua peminat dan orang ramai agar mendoakan kesihatan bapanya yang disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat selepas membuat pemeriksaan sejak awal April lalu.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Gelisah Mimpi itu, bapanya Abdul Halim Abdul Razak pernah dimasukkan ke hospital kira-kira dua minggu lalu akibat angin ahmar dan semalam dimasukkan sekali lagi akibat pneumonia (jangkitan paru-paru).
“Ayah sebelum ini ada mengadu sering mengalami masalah sakit pada bahagian tengkuk dan ia berlarutan selama hampir empat bulan. Jadi kami adik beradik sepakat untuk membawanya ke hopsital bagi melakukan imbasan dan doktor mengesahkan ayah menghidap kanser paru-paru tahap empat.
“Kami tak sangka dan amat terkejut dengan berita yang cukup menyedihkan ini. Namun saya percaya, ayah kuat untuk melawan penyakitnya itu. Doa kami anak beranak tidak pernah putus buatnya,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp sebentar tadi.
Tambah Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, 40, ayahnya baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-73 pada 11 Mei lalu.
“Kami sekeluarga juga sempat meraikan ulang tahun kelahiran ayah secara sederhana bersama seisi keluarga. Namun, tiga selepas itu, ayah diserang angin ahmar dan terpaksa dirujuk ke hospital bagi menerima rawatan.
“Saya dengan rendah diri memohon dan berharap orang ramai dan mereka yang mengenali ayah dapat mendoakan kesembuhannya selain diberikan semangat serta kekuatan untuk menerima ujian yang diberikan Allah pada bulan Ramadan ini,” ujarnya yang mengharapkan ayahnya segera keluar daripada hospital sekali gus dapat menyambut lebaran bersama.
Jelas Liza, ayahnya kini berada dalam keadaan stabil dan masih menjalani rawatan di salah sebuah hospital di ibu kota serta masih dalam pemantauan doktor.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://artismeletop.blogspot.com/2019/06/liza-hanim-harap-ayah-kuat-lawan-kanser.html