Liverpool Stabil Di Tangga Teratas Liga
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Liverpool dan Leicester City di Anfield. — Gambar AFP
LIVERPOOL: Curtis Jones memastikan Liverpool berkelebihan tujuh mata di singgahsana Liga Perdana Inggeris selepas calon pilihan juara itu terselamat ancaman sebelum menewaskan Leicester City 3-1 pada Khamis.
Skuad kendalian Arne Slot dikejutkan dengan gol awal Jordan Ayew di Anfield namun pendahulu liga itu bangkit mengikatkedudukan sebelum rehat menerusi gol Cody Gakpo.
Jones meraikan penampilan ke-100 dalam Liga Perdana dengan gol kedua tidak lama selepas rehat.
Gol ke-19 Mohamed Salah melengkapkan kemenangan ke-11 dari 13 perlawanan terakhir Liverpool dalam semua pertandingan musim ini.
Kebangkitan Liverpool itu membolehkan mereka kini memiliki kelebihan tujuh mata berbanding pencabar terdekat, Chelsea, yang dikejutkan 1-2 oleh Fulham pada perlawanan awal.
“Kerana kami juga ketinggalan 0-1 dalam perlawanan sebelum ini dan kemudian menang 3-1 dan kemudian saya fikir anda melihat bagaimana bagusnya kami,” kata Slot.
Liverpool, yang juga kurang satu perlawanan berbanding Chelsea, hanya tewas sekali dari 17 perlawanan liga musim ini.
Mereka menang 22 daripada 26 perlawanan dalam semua pertandingan dalam apa yang merupakan tempoh luar biasa sejak Slot tiba dari Feyenooard pada penutup musim untuk menggantikan Jurgen Klopp sebagai pengurus.
Klopp membimbing Liverpool memenangi kejuaraan Liga Perdana terakhir mereka pada 2020 dan Slot meletakkan pasukan di kedudukan terbaik untuk mengulangi kejayaan itu dalam separuh kedua musim.
“Ia jawapan yang agak membosankan tetapi sebagai pengurus, anda mengharungi satu perlawanan demi satu perlawanan kerana anda tahu berapa banyak lagi baki perlawanan,” kata Slot ketika bercakap tentang saingan kejuaraan liga.
Turut mara ke peringkat separuh akhir Piala Liga Inggeris dan berada di tangga teratas fasa kumpulan Liga Juara-Juara, Liverpool akan bertandang ke West Ham United untuk perlawanan terakhir mereka tahun ini pada Ahad dan akan memasuki tahun 2025 dengan berada di landasan memburu empat kejuaraan.
Leicester City kini berada di tangga ketiga dari bawah liga dan satu mata dari zon selamat selepas kekalahan ketiga berturut-turut.
Salah hampir meletakkan Liverpool di hadapan lebih awal ketika rembatan jarak dekatnya terkena palang.
Tetapi pada malam kabus agak tebal di Anfield, pertahanan Liverpool kelihatan sedikit alpa pada minit keenam apabila Stephy Mavididi melakukan larian pantas di sayap kiri dan melakukan hantaran lintang kemas yang berjaya dikawal oleh Ayew sebelum merembat menewaskan penjaga gol Liverpool, Alisson Becker.
Pertahanan Liverpool biasanya tidak hilang fokus di awal permainan dan Bilal El Khannouss tidak dikawal untuk melakukan satu rembatan yang sedikit tinggi.
Tetapi semuanya berubah tidak lama selepas itu apabila Darwin Nunez menanduk satu hantaran Trent Alexander-Arnold yang sedikit tersasar sebelum lambungan Salah hanya mengenai luar jaring.
Andrew Robertson juga hampir mengikat kedudukan apabila tandukannya terkena palang.
Liverpool akhirnya mengikat kedudukan apabila Gakpo mengikat kedudukan pada minit kecederaan sebelum rehat.
Ia adalah gol ke-10 Gakpo dalam semua pertandingan musim ini dan kelihatan seperti gambaran biasa buat pengurus Leicester, Ruud van Nistelrooy, yang pernah melatih Gakpo ketika kedua-duanya di kelab PSV Eindhoven.
Leicester belum pernah menang di Anfield dalam aksi Liga Perdana sejak 2000 dan harapan mereka untuk mencipta sejarah berkecai hanya dalam tempoh empat minit dalam separuh masa kedua.
Salah dan Alexis Mac Allister bergandingan untuk mengumpan bola kepada Jones dan meletakkan Liverpool di hadapan buat kali pertama, dengan gol memerlukan satu tempoh agak lama untuk disahkan menerusi pemeriksaan video bantuan pengadil (VAR).
Leicester tidak bernasib baik untuk mengikat kedudukan tidak lama selepas itu apabila Patson Daka gagal menyempurna hantaran kemas Mavididi sebelum Nunez melihat cubaannya ditepis penjaga gol Leicester.
Salah melengkapkan jaringan dengan satu penyudah tepat pada minit ke-82.
Di Stamford Bridge, Fulham menjaringkan dua gol dalam 10 minit terakhir untuk menamatkan 12 perlawanan tanpa kekalahan Chelsea dalam semua pertandingan.
Pemain gantian, Harry Wilson dan Rodrigo Muniz mengejutkan Chelsea untuk kemenangan pertama Fulham di Stamford Bridge sejak 1979.
Kemenangan meletakkan Fulham ke tangga kelapan liga, berkongsi mata dengan Manchester City dan kurang satu mata di belakang pasukan di tangga kelima, Newcastle United, yang menewaskan Aston Villa 3-0 di St James’ Park.
Prestasi turun naik Tottenham Hotspur berterusan apabila tewas 0-1 di Nottingham Forest sementara West Ham United menang 1-0 di Southampton.
Source link
The post Liverpool stabil di tangga teratas liga appeared first on Edisi Viral Plus.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://plus.edisiviral.com/liverpool-stabil-di-tangga-teratas-liga/