Lima Lokasi Nasi Kandar Korang Boleh Cuba Di Pulau Pinang
Lima Lokasi Nasi Kandar Korang Boleh Cuba Di Pulau Pinang. Pulau Pinang dan nasi kandar memang dah sinonim dulu kini dan selamanya. Rata-rata yang datang ke Pulau Pinang memang tak puas kalau tidak singgah pekena nasi kandar. Kalau dulu akak memang hairan apalah yang istimewanya nasi kandar ni. Empat tahun menuntut di sini adalah sekali dua sahaja singgah makan. Lepas kahwin dan pindah menetap di utara ni, boleh dikatakan sebulan 2 atau 3 kali mesti cari nasi kandar. Antara banyak kedai nasi kandar di sebelah pulau, lima ini adalah yang akak cadangkan korang cuba.
Lima Lokasi Nasi Kandar Popular di Pulau PinangPerkongsian ni adalah berdasarkan review akak sendiri. Lain orang lain citarasanya. Ada banyak restoran nasi kandar di Pulau Pinang ni, korang boleh cuba dan boleh bandingkan sendiri.
Original Penang Kayu Nasi KandarOriginal Penang Kayu Nasi Kandar ni tak perlu diperkenalkan lagi. Memang antara tempat viral bagi pengunjung yang datang ke Pulau Pinang. Kedai nasi kandar ini beroperasi 24 jam. Lokasi yang juga tidak jauh daripada Penang Airport, membolehkan korang terus singgah isi perut. Kalau pagi korang bolehlah singgah makan sarapan. Kalau ke sini di waktu pagi akak pilih makan roti canai ataupun roti puri. Jangan lupa pekena teh tarik.
Sebelah tengahari malah sepanjang hari korang boleh cuba menu hidangan nasi kandar dengan pelbagai hidangan lauk pauk yang pastinya membuka selera korang. Musim cuti umum atau cuti sekolah, memang kena beratur panjanglah kalau nak mencuba makan di sini terutama waktu malam. Kalau di sini, pilihan akak ialah ayam masak madu kuah campur dengan bendi rebus atau sayur kobis.
Lokasi : 15, Lebuh Nipah 6, Bukit Jambul, 11950 Bayan Lepas, Pulau Pinang
Waktu operasi : 24 jam
Restoran Mohamed Rafee Nasi KandarKalau korang berada di area Georgetown, bolehlah cuba singgah di Restoran Mohamed Rafee Nasi Kandar ni. Lokasinya di Pulau Tikus. Antara kedai nasi kandar yang popular juga dengan ayam goreng dan gulai ayamnya. Dibuka dari pagi dengan pilihan menu sarapan roti canai dan sebagainya.
Di sini, kalau musim cuti dan hujung minggu, memang mesti beratur panjang. Murtabak di sini pun sedap. Kalau tak nak makan nasi kandar, korang boleh pilih untuk makan murtabak ayam atau daging. Harga di sini murah sedikit daripada Original Kayu. Di sini bolehlah korang pilih nak makan di dalam restoran atau di luar sahaja. Tapi sekarang petang ke malam selalu hujan.
Lokasi : 295-A, Jalan Burma, Pulau Tikus, 10350 George Town, Penang
Waktu operasi : 730 pagi sehingga 12 tengah malam
Nasi Kandar ShariffNasi kandar Shariff ni terletak di Astaka Jalan Permai, gelugor. Nasi Kandar Shariff ni terkenal di kalangan pelajar-pelajar USM dari dulu lagi. Sebelum berniaga di astaka ini, nasi kandar Shariff ni dijual menggunakan basikal roda tiga di lokasi lain juga di Gelugor Pulau Pinang. Lokasi sebelum ni lebih hampir dengan USM di mana kami boleh jalan kaki saja ramai-ramai.
Harganya kira mampu belilah oleh para pelajar dan masakannya lauk-lauknya pun sedap. Kami selalu juga singgah di sini. Pilihan lauk mesti makan ialah ayam goreng bawang telur dadar. Nostalgia pelajar USM. Sampai sekarang ni kalau ada kawan-kawan yang datang ke Pulau Pinang mesti akan share singgah makan di sini. Harganya pun berbaloi dengan makanan.
Lokasi kedai ini ialah di Gerai 23, Kompleks Pasar Dan Makanan, Jalan Permai, Taman Brown, 11700 Gelugor, Penang. Waktu operasinya bermula jam 530 petang sehingga 830 malam atau sehingga lauk habis. Kedai ni beroperasi tidak lama, hanya beberapa jam sahaja dan tutup pada hari Sabtu atau hari-hari tertentu yang akan dimaklumkan.
Restoran Nasi Kandar SulaimanRestoran ni terletak berhampiran dengan Stadium Bandaraya Pulau Pinang. Di sini juga ramai peminat, kalau kena musim cuti, mau dari pagi sampai tengahari orang beratur panjang. Sebelum ni ada juga viral pengunjung kena berpuluh ringgit malahan ada yang mencecah ratusan untuk sepinggan nasi. Bergantunglah juga pada menu lauk yang korang pilih. Kalau macam-macam ada dalam pinggan, memanglah harga pun macam-macam juga. Harga lauk nasi kandar korang jangan bandingkan dengan harga lauk makanan nasi campur.
Akak pernah singgah makan sahur di sini ketika bulan puasa. Tengahmalam bawah ke subuh pun ramai yer. Antara korang sanggup dengan tak ajelah beratur awal-awal pagi sebab nak makan nasi kandar. Bulan puasa restoran ni akan buka sekitar jam 11 malam sehingga 4 atau 5 pagi.
Lokasi : 739, Jalan Air Itam, 10460 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi : 630 pagi - 330 petang (kecuali Jumaat sehingga jam 1pm)
Restoran Nasi Kandar Kampung MelayuRestoran ni dah lama wujud. Nasi Kandar Kampung Melayu ni terletak di Padang Tembak, Air Itam Pulau Pinang. Lokasinya juga tidaklah berapa jauh daripada stesen bawah Bukit Bendera. Nasi Kandar Kampung Melayu ini agak terkenal juga bukan sahaja untuk orang Pulau Pinang, malahan dari luar Pulau Pinang juga.
Kalau korang nak tahu, restoran ni dibuka dari awal pagi sehingga lewat malam. Tapi jualan nasinya ada dua owner. Sebelah pagi tukang masak yang berbeza dengan sebelah petang malam. Jadi kalau korang singgah sini, jangan komplen kalau rasa tak sama.
Di sini, biasanya akak akan makan ayam goreng atau gulai ayam, kuah campur. Bagi yang perut tak tahan makan kuah campur-campur, boleh minta penjual letak asing kuahnya dalam mangkuk kecil. Tapi tak 'kick' lah ...bak kata anak akak.
Lokasi : A-29, Jalan Kampung Melayu, Kampung Melayu, 11500 Ayer Itam, Pulau Pinang
Waktu Operasi : 630am- 2pm ; 4pm -1130pm*waktu-waktu operasi mungkin bertukar dari masa ke semasa.
Ada banyak lagi lokasi nasi kandar yang popular di Pulau Pinang ni. Ikutlah selera masing-masing. Kebanyakan kedai nasi kandar, hidangan lauknya lebih kurang sama tapi mungkin rasa berbeza antara satu kedai dengan yang lain. Korang kena cuba sendiri.
Ada lagi berbaki beberapa minggu sebelum cuti sekolah berakhir, jomlah datang ke Pulau Pinang !
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.azirahman.com/2025/02/lima-lokasi-nasi-kandar-korang-boleh.html