Lewatkan Anak Sarapan Dari Biasa Alif Satar Didik Anak Berpuasa Guna Cara Tersendiri
Hari ini sudah masuk hari ke-26 umat Islam di Malaysia berpuasa. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil, ada antaranya dari awal lagi sudah mengajar anak-anak untuk belajar berpuasa.
Seperti juga penyanyi dan pelakon, Alif Satar yang mendedahkan bahawa dia mempunyai cara tersendiri untuk mengajar kedua-dua anak perempuannya, Alisha Anugerah, 5 tahun dan Ariana Mecca, 3 tahun untuk berpuasa.
“Ayah dan ibu Alif ajar mereka berpuasa secara perlahan-lahan. Kalau sebelum ni mereka makan sarapan pukul 10 pagi, kali ni kita ajar dia makan sarapan pukul 12 tengahari.
“Tapi kita tak cakap la yang mereka sedang berpuasa. Tapi dari semasa ke semasa kita tanya mereka dah mula lapar ke belum untuk tahu sampai mana mereka mampu bertahan.
“Bila mereka berdua lapar, mereka akan maklumkan pada saya. Lepas mereka makan, baru saya akan beritahu yang sebenarnya mereka sudah berpuasa selama setengah hari. Lepas tu mereka mesti macam terkejut,” kata Alif sewaktu ditemubual oleh satu portal hiburan.
Tambah Alif lagi, dia tidak mahu terlalu memaksa dua cahaya mata perempuannya itu untuk berpuasa penuh.
“Sekadar nak mereka merasai pengalaman berpuasa setengah hari juga sudah memadai.
“Kalau boleh saya tak nak terlalu memaksa mereka, cukup sekadar mereka tahu. Lagipun kalau mereka berpuasa penuh seharian, mesti mereka berdua meragam,” jelas Alif lagi.
Sekadar info, Alif dan isterinya Shadila Halid berkahwin pada 15 September 2014.
Pasangan ini dikurniakan dua anak perempuan dan seorang anak lelaki, Muhammad ‘Ali yang bakal memasuki usia satu tahun pada September ini.
Selain cara yang Alif Satar gunakan untuk anak-anaknya, cara di bawah ini juga boleh digunakan untuk mengajar anak-anak yang hendak belajar berpuasa bersama ibu dan ayah. Semoga bermanfaat!
Latih mereka berpuasa
Sementara ada baki beberapa hari ini, ajak anak cuba menahan diri daripada melakukan perbuatan tidak baik. Mereka perlu dididik seawal usia untuk menjadi hamba yang taat.
Meskipun anak mungkin belum mencapai usia baligh untuk menunaikan puasa, ini tidak bermakna mereka tidak perlu dilatih untuk berpuasa. Dalam hal ini, ibu bapa perlu bijak mendidik anak berpuasa mengikut kemampuan mereka.
Namun, perlu menjadi ingatan, janganlah pula memaksa mereka yang belum berkemampuan untuk berpuasa penuh. Mungkin boleh membiasakan mereka berpuasa sedikit demi sedikit sehingga mungkin akhirnya pada akhir Ramadan, anak kita yang masih belajar ini mampu berpuasa penuh dari masuknya waktu Subuh hingga terbenam matahari.
Berlatih sahur dan berbuka bersama
Alang-alang menyiapkan mereka sebelum keluar bekerja, ajaklah anak bangkit sedikit awal daripada kebiasaan. Sediakan sarapan ringkas untuk membiasakan perut mereka dengan kedatangan Ramadan nanti.
Tidak salah juga untuk melatih anak bangun sebelum azan Subuh berkumandang. Bukan saja kita dapat mempersiapkan mereka untuk bangun bersahur, malah boleh mengajak anak menunaikan solat Subuh berjemaah. Lebih baik jika ayah dapat membawa anak lelaki yang sudah bersekolah untuk sama-sama bersolat di masjid sebagai cara melunakkan hatinya dengan ibadat dan rumah Allah.
Sebelah petang, ajaklah anak makan malam bersama. Beritahu apa ertinya azan Maghrib buat seisi umat Islam dan mengapa ia ditunggu-tunggu. Jelaskan sekali adab berbuka dan ajar mereka solat Tarawih.
Menjelang tibanya Ramadan nanti, mungkin ada dalam kalangan kita yang menyuruh anak makan dulu sebelum tibanya waktu berbuka. Ini mungkin kerana anak itu tidak berpuasa dan tidak mahu mereka mengganggu orang dewasa ketika waktu berbuka.
Hal ini perlu diperbetulkan. Meskipun anak kita yang masih kecil tidak berpuasa atau mungkin hanya berpuasa separuh hari, raikan mereka bersama orang yang sahur dan berbuka puasa.
Sentiasa semai perkara baik dalam hidup anak sepanjang Ramadan dan kekalkan amalan sama biarpun selepas habis berpuasa kelak. Mulakan makan dengan membaca doa, beradab ketika makan, makan secara sederhana, makan dengan tangan kanan dan banyak lagi perkara sunah yang boleh kita terapkan dalam diri mereka.
Tanam rasa malu
Atas sebab tertentu, mungkin anak kita masih belum mampu untuk berpuasa. Justeru, mereka perlu makan ketika orang lain berpuasa. Maka, didiklah anak agar rasa malu untuk makan di depan khalayak berpuasa.
Jika mahu makan, ajar anak supaya tidak makan di depan orang yang berpuasa, apatah lagi abang atau kakak yang juga masih kecil supaya mereka tidak tergoda dengan hidangan yang ada di tangan si adik!
Meskipun hal ini nampak kecil dan remeh, ia akan menjadi tanda adanya iman dalam diri anak kita. Manfaatkanlah peluang ini untuk memastikan mereka sentiasa berakhlak mulia walaupun tanpa keberadaan ibu bapa di sisinya.
Sumber: Gempak & Hmetro
The post Lewatkan Anak Sarapan Dari Biasa, Alif Satar Didik Anak Berpuasa Guna Cara Tersendiri appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/lewatkan-anak-sarapan-dari-biasa-alif-satar-didik-anak-berpuasa-guna-cara-tersendiri/