Letak Syarat Berkaitan 3r Janggal Ronald
“Meletakkan syarat 3R dalam pemberian peruntukkan nyata janggal kerana isu dan beban 3R tidak seharusnya diletak kepada pembangkang dalam pemberian peruntukan.
(Berita Harian) – Pemimpin BERSATU mempertikaikan syarat berkaitan 3R (agama, raja, kaum) yang diletakkan dalam kandungan draf Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang dan menyifatkannya sebagai satu yang janggal.
Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata syarat 3R yang diletakkan bagi mengelakkan perpecahan itu jelas janggal dan tidak kena dengan tujuannya.
Ronald turut membangkitkan sama ada ahli Parlimen pembangkang akan mendapat peruntukan yang setara dengan wakil rakyat kerajaan melalui syarat yang ditetapkan itu.
“Meletakkan syarat 3R dalam pemberian peruntukkan nyata janggal kerana isu dan beban 3R tidak seharusnya diletak kepada pembangkang dalam pemberian peruntukan.
“Sebaliknya, isu itu seharusnya ditangani bersama dalam semua aspek kepartian sama ada pembangkang ataupun kerajaan.
“Apakah pembangkang akan mendapat jumlah peruntukan yang setara dengan kerajaan dengan syarat ini? Jika jawapannya tidak, ia hanya menampakkan ‘keikhlasan’ sebenar kerajaan,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berhubung draf MoU yang perlu ditandatangani pembangkang sebelum kerajaan menyalurkan peruntukan kepada mereka.
Antara kandungan draf MoU itu ialah pembangkang perlu bersama memastikan kestabilan demi pemulihan ekonomi negara serta mengelak perpecahan khususnya berkaitan isu 3R.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata, tiada syarat supaya Ahli Parlimen pembangkang perlu menyokong Perdana Menteri bagi mendapatkan peruntukan.
Pada masa sama, Ronald berkata, dengan perkembangan itu, ia dilihat tidak selari ‘janji’ Kerajaan Perpaduan untuk memberikan peruntukan tanpa syarat sebelum ini.
“Apapun kita akan menunggu naskhah syarat penuh yang akan diumumkan ini…sehingga kini kami belum menerima pemakluman berkenaan,” katanya.
The post Letak syarat berkaitan 3R janggal-Ronald appeared first on Malaysia Today.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysia-today.net/2024/05/15/letak-syarat-berkaitan-3r-janggal-ronald/