Lepasan Graduan Terus Bela Ayam Kisah Amoi Ini Curi Perhatian Ramai

KUALA LUMPUR – Dalam era ramai graduan berebut kerja pejabat dan sektor korporat, seorang gadis muda ini memilih laluan berbeza yang tidak disangka-sangka. Tanpa segan silu bergelumang dengan dunia penternakan, perkongsian ringkasnya di TikTok ternyata mencetuskan perbualan hangat apabila netizen menyedari ayam yang diternaknya bukan sebarangan, malah dikaitkan dengan jenama premium yang sering dijual di pasar raya besar.
Tular di TikTok satu perkongsian oleh seorang gadis dikenali sebagai @amoinanas yang memaparkan dirinya memilih untuk menternak ayam sebaik sahaja tamat pengajian.
Menerusi kapsyen ringkas, gadis berkenaan menulis: “amoi lepas graduate terus bela ayam”, namun perkongsian itu nyata mengundang perhatian ramai selepas netizen menyedari ayam yang diternaknya bukan ayam biasa.
Ayam jenama Aqina jadi bualan
Meninjau ruangan komen, ramai netizen mendakwa ayam yang diternak oleh @amoinanas merupakan ayam jenama Aqina, yang diketahui mempunyai nilai pasaran lebih tinggi dan dijual di beberapa pasar raya besar.
“Ayam aqina kan? Weii mahal ayam ni,” komen seorang pengguna, @ErinLee_93.
Seorang lagi netizen, @Maria, yang mendakwa pernah bekerja dengan syarikat tersebut turut berkongsi pengalaman.
“Saya dulu kerja Aqina. Bagus sangat ayam Aqina. Banyak kedai runcit ambil ayam Aqina dengan harga biasa, tapi ada juga mart besar jual harga mahal,” katanya.
Turut senada, @Mika menulis, “Wehh ayam dia ayam Aqina. Bukan ayam beshe-beshe.”
Sementara itu, @Iffah Ishak pula menyatakan jenama ayam tersebut sering dilihat di pasar raya terkenal.
“Maksudnya ayam brand Aqina ni amoi tu punya. Selalu nampak kat Village Grocer brand ayam tu,” tulisnya.
Guna enzim nenas untuk ternakan
Dalam perkembangan berkaitan, satu perkongsian di Threads oleh pengguna @mencarisakinah turut mencuri tumpuan apabila mendedahkan teknik penternakan ayam yang digunakan dalam video tersebut.
Menurutnya, ayam berkenaan diberi minuman enzim nenas yang berfungsi mengurangkan bau busuk serta membantu najis ayam terurai secara semula jadi.
“Bagus muda-muda jadi penternak ayam. Diorang guna enzyme nenas untuk minuman ayam. Enzyme ni bagus untuk hilangkan bau busuk & bila berak auto mengurai sebab dah ada mikroorganisma dari enzim tu,” jelasnya.
Tambahnya lagi, enzim nenas tersebut boleh dihasilkan sendiri menggunakan sisa kulit nenas, buah nenas rosak, gula merah atau molases, ragi (jika perlu) serta air tanpa klorin.
Beliau turut berkongsi nisbah bancuhan iaitu 3:1:10, melibatkan tiga bahagian sisa nenas, satu bahagian gula merah dan 10 bahagian air tanpa klorin, sebelum diperam selama tiga bulan.
Selain digunakan untuk ternakan ayam, sisa enzim tersebut juga boleh dijadikan pencuci lantai, baja cecair dan seratnya pula boleh dimanfaatkan sebagai makanan ayam atau itik.
Netizen hargai perkongsian ilmu
Perkongsian tersebut menerima reaksi positif daripada warga maya, khususnya di Threads, yang rata-ratanya menghargai ilmu dan pengalaman dikongsikan.
“Terima kasih untuk ilmunya,” komen seorang pengguna, yang dibalas ringkas oleh @mencarisakinah, “Sama-sama.”
Kisah ini sekali gus membuktikan bahawa bidang penternakan tidak lagi terhad kepada cara tradisional, malah mampu menjadi pilihan kerjaya moden dan berpotensi tinggi, khususnya dalam kalangan anak muda yang berani mencuba pendekatan berbeza serta berinovasi. – The Malaysian Update
The post Lepasan Graduan Terus Bela Ayam, Kisah ‘Amoi’ Ini Curi Perhatian Ramai appeared first on The Malaysian Update.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.my/2025/12/25/lepasan-graduan-terus-bela-ayam-kisah-amoi-ini-curi-perhatian-ramai/