Lelaki Warga Emas Dari Temerloh Di Temui Mati Lemas Di Kemaman Isteri Masih Hilang
CHUKAI - Sekumpulan pemancing menemui mayat lelaki, kira-kira 10 jam selepas dia lemas ketika mandi bersama isterinya di Pantai Penunjuk, Kijal di Kemaman, dekat sini, awal pagi semalam.
Mayat Ahmad Qarib Ab Kadir, 60, ditemui pada jarak kira-kira dua batu nautika dari Kuala Kemaman, pada kira-kira jam 2.10 petang tadi, tetapi isterinya, Rokiah Abd Rahman, 59, masih belum ditemui setakat ini.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid, berkata sebaik menerima laporan, pihaknya mengatur gerak menyelamat menggunakan bot Penggalang 17 ke lokasi kejadian.
"Anggota kami tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 3 petang sebelum mengangkat dan membawa mayat mangsa ke Jeti Kuala Kemaman kira-kira jam 3.30 petang.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut," katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi semalam, Ahmad Qarib dan Rokiah dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Penunjuk selepas dihanyutkan arus deras.
Pasangan suami isteri dari Madrasah Ad Diniah, Kampung Pangsenam, Temerloh, Pahang itu dikatakan bercuti ke pantai berkenaan bersama empat anak dan mandi pada jarak kira-kira 40 meter dari tempat penginapan mereka.
Anak mangsa yang turun ke pantai itu kira-kira jam 5 pagi gagal menemui pasangan terbabit sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Terdahulu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kijal, Mohamad Adri Mat Harun, berkata bomba menerima panggilan kecemasan jam 5.43 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, anak mangsa yang menyedari kedua ibu bapanya hilang cuba mencari di sekitar kawasan pantai, namun gagal menemui mangsa.
"Operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa membabitkan 61 anggota bomba, polis, RELA dan penduduk kampung segera digerakkan.
"Kawasan pencarian membabitkan radius keluasan 500 meter persegi dengan menggunakan bot bomba, polis dan nelayan," katanya. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2022/05/lelaki-warga-emas-dari-temerloh-di.html