Legasi Sebuah Iphone
Tulisan asal oleh saudara Xavier Naxa di Facebook Apple User Group (Malaysia)®
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini ramai pengguna iPhone telah beralih ke Android akibat inovasi yang separuh masak. Jika dilihat golongan veteran dalam Apple User Group (Malaysia)® telah ramai angkat kaki atau cuci tangan untuk tidak mengikuti lagi perkembangan Apple secara dekat.
Apple saya boleh katakan antara syarikat yang mampu merubah landskap dunia teknologi masa kini. Namun, disebabkan kepimpinan Tim Cook yang lebih fokus pada perniagaan dan fesyen membuatkan inovasi mereka seolah-olah tangkap muat semata-mata.
Kali pertama Apple bangkit setelah Steve Jobs melancarkan iPod. Setelah itu mereka mempunyai dana yang besar untuk pembangunan dan penyelidikan. Pada 2007 merupakan tahun yang merubah Apple secara keseluruhan.
Apple dulu dikenali sebagai Apple Computer, namun disebabkan Apple mula fokus kepada peranti pintar mereka menjenamakan kembali kepada Apple Inc. Begitu juga slogan ‘Think Deference’ yang mana ia satu slogan yang sangat berkesan bagi sebuah syarikat yang dipimpin oleh Steve Jobs.
Sejak peranti Android mula mendapat perhatian, rata-rata pengguna iPhone beralih secara senyap memandangkan harga serta spesifikasi yang jauh lebih baik. Jika dilihat jenama OnePlus, Huawei, Google Pixel dan beberapa jenama besar lain menjual peranti mereka jauh lagi murah berbanding Apple.
Contoh paling mudah iPhone X yang dijual pada harga luar biasa mahal. Tiada apa yang boleh dibanggakan bagi model ini. Ia hanya sebuah iPhone yang mempunyai skrin penuh serta mempunyai Face ID sebagai kunci keselamatan.
Dulu group AUG (Apple User Group) padat dengan informasi berguna dari abang serta kakak senior. Ke manakah mereka semua? Secara rambang saya lihat rata-rata pengguna AUG bukanlah golongan tegar Apple yang sanggup membeli dan mengumpul setiap model iPhone. Kebanyakan dari mereka mempunyai model iPhone 5S atau iPhone 6.
Jika iOS 12 yang dilancarkan beberapa minggu lagi memberi kesan besar kepada prestasi iPhone 6 saya bole jangkakan ramai yang akan luahkan perasaan kekecewaan. Sebelum ini terdapat laporan bahawa iOS 12 boleh dikemaskini bagi iPhone 5S. Jika boleh sekali pun, janganlah anggap anda bernasib baik.
Bagi saya, anda akan menempah masalah memandangkan secara teori iPhone 5S sudah tidak relevan untuk digunakan lagi kecuali anda hanya pengguna biasa sahaja. Jika kedua-dua peranti ini tidak mampu beroperasi dengan baik. Adakah penggunaan ini akan beralih ke model baru iPhone?
Bagi saya, kebarangkalian untuk anda membeli model iPhone yang baru adalah rendah memandangkan harga yang sangat tinggi.
Terdapat dua cara sahaja, sama ada anda membeli iPhone terpakai atau Android yang baru.
Jika anda membeli iPhone terpakai, banyak yang perlu anda kaji sebelum membelinya. Memandangkan Apple sangat mementingkan aspek keaslian luar dan dalam. Jika anda tersalah membeli iPhone yang pernah menukar komponen dalaman. Risiko iPhone anda bermasalah adalah tinggi.
Bagi mengelakkan masalah ini anda mungkin membeli peranti Android di mana harganya yang lebih murah dan risiko yang bakal dihadapi seperti iPhone terpakai adalah sangat rendah.
Ironinya, iOS 12 antara satu-satunya kunci untuk menarik kembali bekas pengguna iPhone sebelum ini.
Jika Apple masih hasilkan sesuatu yang dianggap ‘sampah’ nescaya makin ramai akan beralih kepada Android termasuklah diriku sendiri.
PART 2
Umum mengetahui, Apple antara syarikat yang banyak mencetus fenomena baharu dalam industri pengkomputeran. Bermula dengan Apple 1 hinggalah ke pembangunan macBook, iPod, iPhone, iPad, Apple Watch dan HomePod. Apple sememangnya berada dalam satu kelas tersendiri.
Bermula dengan Steve Jobs, kemudian diterajui oleh Sculley, Spindler dan Amelio, Apple mengalami pelbagai onak dan duri hinggakan saham Apple pernah mengalami kejatuhan teruk dan berada dalam fasa kegelapan hinggalah Steve Jobs kembali menerajui Apple.
Steve Jobs hakikatnya tidak mampu berdiri sendiri tanpa dibantu oleh beberapa individu berpengaruh di Apple termasuk Tim Cook, Jony Ive, Scott Forstall, Phill Schiller dan Craig Federighi. Apple kembali bernafas setelah mereka memperkenalkan beberapa produk yang hebat dan menarik hasil kreativiti Jony Ive selaku individu penting dalam merekabentuk produk.
Jony Ive juga berjaya merekabentuk UI/UX bagi iOS 7 sehingga mampu bertahan ke hari ini. WWDC 2013 antara acara kemuncak Apple memandangkan inovasi iOS 7 dan OSX Maverick mencipta satu fenomena baharu dalam dunia teknologi.
Setelah hampir 5 tahun, WWDC 2018 sepatutnya mengembalikan kembali suasana seperti tahun 2013 bagi mengekalkan status mereka sebagai antara pencetus revolusi teknologi. Kali ini banyak penulisan saya ke arah WWDC, memandangkan ramai peminat mengharapkan Apple bangkit kembali setelah sekian lama merasa selesa.
Peminat mahukan perubahan, bukan hanya sekadar inovasi separuh masak yang akhirnya memberi kesan negatif kepada pengguna. iOS 12 dan macOS 10.14 antara inovasi yang menjadi harapan besar saya. Jika dilihat dari segi sejarah. Apple kebiasaan akan memfokuskan satu-satu inovasi secara selang-seli.
Ini boleh dilihat pada tahun 2013 Apple memfokuskan iOS 7, kemudian 2014 Apple memfokuskan pada OSX Yosemite, begitu juga 2015 iOS 9, 2016 macOS Sierra dan 2017 iOS 11. Tahun 2018 jika dilihat Apple akan memfokuskan kepada kepada macOS. Namun, besar harapan saya jika Apple membuat overhaul bagi iOS 12 untuk kali kedua.
Secara peribadi, saya berpandangan iOS 12 hanyalah pelengkap kepada iOS 11. Mungkin terdapat beberapa fungsi baharu termasuklah inovasi pada SIRI. Jika iOS 12 hanyalah pelengkap kepada iOS 11. Nampaknya pengguna yang menggunakan iPhone sejak iPhone 3G tentu akan meluahkan kekecewaan.
Tiada apa yang mampu dibuat lagi dan hanya sekadar menunggu sekitar dua minggu lagi. Apple harus sedar bahawa Google mula menunjukkan taring mereka sejak akhir-akhir ini. Jika Google mampu overtake Apple, saya pasti Apple akan alami masalah seperti tahun 2012.
Saya memilih Apple bukan kerana jenama tapi inovasi. Tapi kalau hanya inovasi separuh masak, sampai bila peminat mahu menunggu lagi.
SEKADAR PANDANGAN
Follow saya di Twitter xaviernaxa
Menganai penulis
Xavier Naxa merupakan salah seorang moderator Apple User Group (Malaysia) yang kerap memuatkan info serta artikel di group tersebut, dan di twitter peribadinya @xaviernaxa. Beliau juga antara otai yang sering membantu ahli-ahli group dan yang pasti, beliau adalah peminat tegar Apple setelah sekian lama.
The post Legasi Sebuah iPhone appeared first on Lepak CC.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.lepakcc.com/legasi-sebuah-iphone/