Lee Tuck Tak Dapat Jadi Pemain Tempatan
KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya akhirnya 'kehilangan' seorang pemain berdarah campuran yang berpotensi apabila terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat arkitek tengah Terengganu FC (TFC), Lee Tuck.
Ini berikutan pemain kelahiran England itu mengakui gagal memenuhi kriteria sebagai pemain berdarah campuran khususnya membabitkan dokumen yang dapat membuktikan dia memiliki pertalian darah dengan rakyat Malaysia di sebelah neneknya.
Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun itu menegaskan dia tidak pernah menutup 'pintu' kepada skuad kebangsaan dan berharap impiannya untuk beraksi bersama negara dapat direalisasi.
"Buat masa ini, saya tidak dapat menyediakan dokumen yang diperlukan untuk menjadi pemain berdarah campuran. Saya masih memerlukan masa untuk menyelesaikan dokumen berkenaan.
"Jadi apabila tiba masanya nanti dan semuanya sudah sedia, saya akan mencuba sekali lagi. Saya masih lagi menyimpan hasrat untuk beraksi bersama Malaysia pada masa akan datang dan saya mengharapkan peluang itu akan tiba nanti.
"Kini, saya akan cuba apa yang terdaya bagi melengkapkan dokumen yang diperlukan dan dalam masa sama, saya akan tetap fokus untuk membantu TFC dalam saingan Liga Super dan juga Piala FA," katanya ketika dihubungi BH Sukan, hari ini.
Terdahulu, BH Sukan melaporkan hasrat Lee Tuck untuk bergelar pemain kebangsaan ‘sangkut’ selepas pemain itu gagal untuk mengemukakan dokumen yang dapat membuktikan dia memiliki pertalian darah dengan rakyat negara ini.
Situasi ini sekali gus menepis khabar angin yang mendakwa Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak membuat kerja untuk mendaftarkan pemain itu ketika dokumen penting itu masih lagi belum dapat dikemukakan.
Penolong pengurus Terengganu (TFC), Zulfadzli Rozi menegaskan pihaknya sentiasa menghulurkan apa sahaja bantuan untuk diperlukan pemain kelahiran England itu bagi merealisasikan keinginan dia menyarung jersi skuad kebangsaan.
“Sebenarnya Lee Tuck memang berminat namun kita sedang menunggu dokumentasi daripada dia yang boleh membuktikan bahawa dia boleh didaftarkan sebagai pemain berdarah campuran.
“Dokumen itu amat diperlukan untuk membuktikan dia ada pertalian darah dengan rakyat Malaysia di sebelah ibunya namun sampai sekarang dia masih lagi mencari cari dokumen itu.
“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga sudah memaklumkan bahawa mereka memberi tempoh selama seminggu kepada Lee Tuck untuk mengemukakan dokumen itu," kata Zulfadzli. - Berita Harian
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/04/lee-tuck-tak-dapat-jadi-pemain-tempatan.html