Lebih Tiga Jam Masa Diambil Untuk Padam Kebakaran Rumah Kilang
PASUKAN bomba mengambil masa lebih tiga jam untuk memadam kebakaran dua rumah dan sebuah kilang membuat peralatan sembahyang Cina di Jalan Paya Terubong-Bandar Baru Ayer Itam di Georgetown, hari ini.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Tarmizi Md Jaafar berkata, dalam insiden pada 1.40 tengah hari, empat motosikal turut musnah, namun tiada mangsa cedera atau meninggal dunia.
"Jentera pertama tiba di lokasi pada 1.50 tengah hari dan ketika itu, api sedang marak. Pihak bomba menghadapi kesukaran untuk masuk ke kawasan itu kerana keadaan jalan serta rumah dan kilang yang terletak berhampiran antara satu sama lain.
"Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak pada 3.10 petang, namun sehingga 5.30 petang, kerja-kerja memadamkan api masih dijalankan.
"Terdapat banyak longgokan peralatan sembahyang yang diperbuat daripada bahan mudah terbakar seperti colok dan kertas," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menggunakan jentera pengorek untuk kerja-kerja mengorek dan memadam kebakaran.
Menurutnya, seramai 50 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, BBP Jalan Perak dan BBP Bayan Baru terbabit dalam operasi pemadaman dengan dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Sementara itu, Lim Teik Soo, 72, berkata dia dan isterinya berada di rumah ketika kejadian sebelum terdengar jiran-jiran menjerit memaklumkan bahawa terdapat kebakaran di kawasan kediaman mereka.
Katanya, dia kemudian keluar dari rumah dan mendapati rumah jiran terbakar sebelum menjerit memanggil isterinya untuk menyelamatkan diri tanpa sempat menyelamatkan apa-apa.
"Api merebak sangat cepat, bila kami keluar dari rumah, api sudah sampai bahagian belakang rumah saya.
"Nasib sempat selamatkan diri, kalau tak, tak tahulah apa akan jadi pada saya dan isteri," katanya.
Kredit Harian Metro
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.penangkini.com/2020/05/lebih-tiga-jam-masa-diambil-untuk-padam.html