Lebih 50k Orang Sertai Tunjuk Perasaan Kutuk Macron Di Bangladesh
Lebih 50,000 orang menyertai tunjuk perasaan terbesar di Bangladesh pada Isnin (2 Okt) bagi membantah tindakan Presiden Perancis Emmanuel Macron yang mempertahankan hak untuk menerbitkan kartun Nabi Muhammad.
Perarakan itu bermula di masjid terbesar Bangladesh, namun disekat daripada menghampiri Kedutaan Perancis di mana pasukan keselamatan sudah dikerahkan untuk mempertingkatkan tahap keselamatan menyusuli ketegangan yang memuncak ekoran kenyataan oleh Encik Marcon.
Perarakan sepanjang dua kilometer (km) dan para penunjuk perasaan dilihat mengabaikan penjarakan sosial yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan COVID-19 -- membawa patung Encik Macron, karikatur dan sebuah keranda khas untuk presiden Perancis itu.
Polis menganggarkan sekitar 50,000 penunjuk perasaan mengambil bahagian dalam bantahan anti-Perancis ketiga terbesar pada minggu lalu, tetapi pihak penganjur mendakwa lebih 100,000 orang menyertainya.
Para penunjuk perasaan melaungkan 'Kami semua adalah tentera Nabi', 'Kami tidak takut dengan peluru atau bom' dan 'Macron, anda dalam bahaya'. Mereka turut membakar patung pemimpin Perancis itu.
Polis memasang sekatan dawai merentasi jalan raya utama untuk menyekat para penunjuk perasaan daripada menghampiri bangunan Kedutaan Perancis di Dhaka dan perarakan itu bersurai tanpa mencetuskan sebarang masalah.
Tunjuk perasaan diadakan di sebahagian besar negara majoriti umat Islam selepas Encik Macron mempertahankan kebebasan bersuara di Perancis setelah seorang guru yang menunjukkan karikatur Nabi Muhammad di dalam bilik darjah dipenggal.
Islam mengharamkan sebarang gambaran Nabi Muhammad.
Di Indonesia pula, sekitar 3,000 orang menyertai tunjuk perasaan pada Isnin (2 Okt), di luar Kedutaan Perancis di Jakarta, menurut polis.
Para penunjuk perasaan membakar gambar Encik Macron dan mengangkat papan tanda dengan tapak kasut pada muka Encik Macron di samping menggambarkan pemimpin Perancis itu dengan tanduk pada kepalanya.
Tunjuk perasaan di Bangladesh dianjurkan oleh kumpulan Hefazat-i-Islami, iaitu antara kumpulan radikal terbesar di Bangladesh yang mempunyai seramai 168 juta penduduk.
Sementara itu, timbalan ketua Hezafat, Encik Junaid Babunagari menggesa Parlimen pimpinan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina supaya mengutuk Encik Macron.
- AFP/NA/na
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.penangkini.com/2020/11/lebih-50k-orang-sertai-tunjuk-perasaan.html