Lebih 4 000 Pekerjaan Ditawar Kepada Peminjam Ptptn
Norlaile Abd Rahman                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

Menteri  Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad (dua kiri) bersama Menteri  
Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan (dua kanan) menyaksikan Ketua  
Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (kiri) bertukar-tukar dokumen  
perjanjian bersama Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman  
Aziz Mohammed (kanan) pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman  
Antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan  
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Kementerian Pengajian Tinggi, 
 Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL             PUTRAJAYA- Sebanyak 4,609 kekosongan jawatan ditawarkan oleh 20 majikan dalam program Virtual Mini Job Hunt khusus kepada peminjam-peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Menurut Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, Kementerian  Pengajian Tinggi (KPT) dan PTPTN memahami isu yang dihadapi oleh  peminjam.
Dengan itu, kerjasama strategik menerusi program selama empat  hari itu adalah langkah proaktif dan prihatin kepada peminjam bagi  membantu mengatasi masalah mereka dalam mencari pekerjaan.
“Kami berharap menerusi program ini mereka dapat mencari pekerjaan  yang sesuai dan mendapat pendapatan yang lebih baik,” katanya semasa  sidang media selepas menghadiri pertukaran MoU bersama Ketua Eksekutif  Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Majlis disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Noraini Ahmad dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (kiri).Virtual Mini Job Hunt yang berlangsung pada 30 Jun hingga 3  Julai ini turut menyediakan ceramah webinar mengenai kebolehpasaran  pekerjaan yang akan diadakan secara maya pada 30 Jun hingga 1Julai 2020.
Manakala sesi temuduga terbuka yang juga diadakan secara dalam talian  akan berlangsung pada 2 Julai hingga 3 Julai ini bermula 9.30 pagi  hingga 4.30 petang.
Peserta yang berminat boleh mula mendaftar pada 25 Jun sehingga sebelum 4 petang pada 3 Julai 2020.
Pendaftaran boleh dibuat melalui https://careerfair.perkeso.gov.my dan tiada bayaran yang dikenakan untuk mendaftar.
Calon-calon yang layak akan diberikan pautan masuk ke ruang lobi temuduga.
Tegas Ahmad Dasuki, program pencarian kerja ini bukan bermakna PTPTN  akan membuat bayaran secara potongan gaji secara automatik kepada calon  yang berjaya mendapatkan pekerjaan.
Sekiranya terdapat calon yang berminat untuk membuat pembayaran  pinjaman secara pemotongan gaji, mereka masih perlu membuat permohonan  seperti biasa iaitu melalui laman web www.ptptn.gov.my.
Sekiranya majikan tidak menyediakan perkhidmatan potongan gaji, peminjam boleh membuat bayaran balik menggunakan saluran lain.
Menurut Ahmad Dasuki, pendekatan melalui inisiatif KPT Prihatin  mendengar permasalahan dan keluhan daripada graduan khususnya peminjam  tanpa mengabaikan kelestarian pinjaman PTPTN kepada generasi akan  datang.
Ini katanya akan menghasilkan situasi menang-menang (win-win situation) kepada semua pihak merangkumi peminjam, PTPTN dan kerajaan.
“Jalinan kerjasama di antara agensi di bawah KPT dan Kementerian  Sumber Manusia ini diharap bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada  para graduan yang merupakan peminjam PTPTN dan pihak majikan, malah  mampu mengurangkan kadar pengangguran di kalangan graduan politeknik dan  institusi pengajian tinggi khususnya dan masyarakat Malaysia amnya,”  katanya lagi.- MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/lebih-4000-pekerjaan-ditawar-kepada.html