Latihan Industri Homesick
So how do I start?
Tipulah kalau sikit pon aku tak rasa kekok. Dah lama sangat tak tulis tentang diri sendiri. Kalau dulu aku rasa menulis di blog ni sebagai satu escape untuk diri aku daripada kesibukan dan kekusutan dunia realiti. Tapi sekarang tidur lagi seronok. Kau akan rasa masa itu akan lebih cepat bergerak. Kalau ada masalah dalam kepala pon kau akan dapat lupakan sekejap. Sebab bila kau bangun kau akan rasa satu permulaan yang baru. Kekusutan yang kau hadap sebelum tu akan rasa sedikit kurang. Bagi akulah kalau orang lain aku tak tahu.
Orang kata untuk kekal terapung di atas permukaan air kita perlu terus berusaha mendongak. Tetapi dalam kehidupan ini tak sama. Kadang-kadang kita hilang kawalan menyebabkan kita hanyut di dasar air. Untung kalau kita cepat sedar dan dapat kembali berada di permukaan air. Samalah dengan turun dan naiknya dalam kehidupan. Untuk naik kita perlukan usaha; mendongak. Tetapi kalau terus hanyut mungkin kita akan kelemasan dan tak timbul-timbul lagi ke atas. Maka itu akan jadi penamat kita.
Macam tak jadi metafora aku kan?
Tak kisahlah.
Aku ketika ini dalam minggu latihan industri di mana aku sekarang melakukan kerja-kerja di laboratori universiti kira macam sebagai seorang penyelidik. Matlamat latihan industri aku adalah untuk memformulasikan sebuah makanan ikan yang menggunakan bahan mentah daripada pemanfaatan sisa ikan. Projek "Waste to Wealth". Aku jugak punya idea untuk menjadikan tempe iaitu salah satu produk fermentasi kacang soya yang merupakan sumber baik protein dari tumbuh-tumbuhan untuk ditambah dalam formulasi makanan ikan yang sedang aku usahakan.
Dalam kajian aku jugak aku jalankan pemerhatian terhadap benih ikan patin yang aku beli di pasar basah Pudu di Kuala Lumpur. Tumbesaran ikan patin yang akan diberikan makan dengan makanan ikan yang telah aku formulasikan akan diperhatikan. Segala pemerhatian ini dibandingkan dengan sampel konstan iaitu makanan ikan komersial yang aku beli di kedai haiwan tak jauh dari rumah sewa.
Sekarang sudah masuk minggu ketujuh dan cuma tinggal baki tiga minggu lagi sebelum aku lengkapkan latihan industri. Apa yang aku rasa adalah sedikit kurang bernasib baik bagi aku kerana uji kaji yang aku jalankan masih belum lagi memberikan hasil seperti yang aku mahukan. Resipi formulasi yang aku lakukan sekarang masih lagi dalam fasa try & error. Aku masih lagi sibuk untuk mencari jalan bagi meningkatkan lagi makanan ikan yang aku usahakan.
Satu perkara lagi yang aku rasakan agak sedikit kesal sebab tidak memohon mana-mana peluang praktikal di syarikat luar. Paling tidak dapat memberikan aku pengalaman bekerja dengan suasana yang lebih realistik. Tapi tak mengapalah, sekarang pon sudah hampir tamat jangka waktu praktikal yang tinggal. Jadi setiap apa yang kita mulakan mestilah kita akhirkan.
Kalau selalunya waktu-waktu seperti sekarang ini merupakan cuti semester panjang tetapi sekarangnya tidak. Perkara yang aku paling rindukan setiap kali jauh dari rumah ialah suasana rumah itu sendiri. Aku fikir semakin hampir ke penamat masa belajar ini semakin kurang masa yang ada untuk aku luangkan di rumah. Dua semester lepas untuk 6 bulan sepenuhnya aku berada di Indonesia mengikuti program mobiliti dan sekarang sibuk dengan latihan industri. Rasa homesick ini jugak yang membuatkan aku mencari-cari masa untuk ulang-alik dari Pahang ke Kuala Lumpur setiap hujung minggu.
Aku harap setiap semua perkara yang aku lakukan selepas ini akan sentiasa dipermudahkan. Mungkin situasi sekarang bukanlah rasa dan keputusan yang aku inginkan tetapi aku akan tetap berusaha kerana aku percaya setiap usaha itu pasti akan memberikan hasil baik sikit atau banyak. Mungkin sekarang bukan waktu yang tepat dan pasti setiap perkara yang jadi sekarang punya sebab dan hikmah tersendiri. Doa-doakan uji kaji aku menjadi ya!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.lakiterok.com/2018/08/latihan-industri-homesick.html