Lapan Negeri Rekod Prestasi Pertumbuhan Lebih Baik Perangkaan
AGENDA DAILY	 								 								 											

Jabatan Perangkaan Malaysia 						
									 							 					 						Prestasi ekonomi semua negeri termasuk Wilayah Persekutuan  mencatatkan pertumbuhan negatif pada 2020, tetapi lapan daripadanya  merekodkan kadar pertumbuhan yang lebih baik berbanding penyusutan 5.6  peratus peringkat nasional.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir  Mahidin berkata lapan negeri tersebut ialah WP Labuan, merekodkan  penurunan 0.5 peratus, diikuti Kelantan (-1.1 peratus), Kedah (-1.7  peratus), Pulau Pinang (-2.1 peratus), Perak (-2.3 peratus), Negeri  Sembilan (-3.6 peratus), Johor (-4.6 peratus) dan Selangor (-5.3  peratus).
Negeri lain, WP Kuala Lumpur mencatatkan kemerosotan -7.5 peratus,  Sawarak (-7.1 peratus), Sabah (-9.5 peratus), Pahang (-5.9 peratus),  Melaka (-5.9 peratus), Terengganu (-5.7 peratus) dan Perlis (-6.1  peratus).
“Meskipun pandemik COVID-19 telah memberi impak negatif kepada  ekonomi negeri, enam negeri iaitu Selangor, WP Kuala Lumpur, Johor,  Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah kekal sebagai penyumbang utama Keluaran  Dalam Negeri Kasar (KDNK) nasional dengan jumlah sumbangan sebanyak 72.1  peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Prestasi Ekonomi Mengikut Negeri 2020 secara maya hari ini.
Memetik laporan Bernama Mohd Uzir berkata pertumbuhan ekonomi  Malaysia pada 2020 adalah yang kedua terendah selepas krisis kewangan  tahun 1998 dengan KDNK nasional merekodkan nilai pengurangan sebanyak  RM80.4 bilion berbanding 2019.
Berdasarkan perincian mengikut negeri, Selangor mencatatkan  pengurangan tertinggi iaitu sebanyak RM18.3 bilion, diikuti WP Kuala  Lumpur (RM17.5 bilion), Sarawak (RM9.6 bilion) dan Sabah (RM8.1 bilion).
Katanya keempat-empat negeri tersebut telah menyumbang 66.7 peratus kepada nilai penyusutan nasional.
Beliau berkata komposisi aktiviti ekonomi yang berbeza mendorong  kepada kepelbagaian ciri bagi setiap negeri dan seterusnya memberi impak  yang berbeza kepada pertumbuhan ekonomi.
“Secara umumnya, beberapa negeri dilihat menerima impak yang agak  mendalam berbanding sebilangan negeri yang mempunyai asas struktur  ekonomi yang mampu mengimbangi magnitud kemerosotan seperti di peringkat  nasional.
“Pelbagai program pakej rangsangan dan inisiatif telah diumumkan oleh  kerajaan termasuk kerajaan negeri bagi membantu kelangsungan  perniagaan, mengurangkan tekanan persekitaran perniagaan serta  mempercepatkan pemulihan pasaran buruh,” jelas beliau.
Dari sudut KDNK Per Kapita, kesemua 13 negeri dan dua WP mencatatkan  penurunan dalam nilai KDNK Per Kapita pada 2020 berbanding 2019.
Bagaimanapun, tujuh negeri mencatatkan nilai KDNK Per Kapita melebihi  paras nasional sebanyak RM43,378, iaitu WP Kuala Lumpur (RM120,600), WP  Labuan (RM76,792), Pulau Pinang (RM54,718), Selangor (RM51,966),  Sarawak (RM48,597), Melaka (RM45,893) dan Negeri Sembilan (RM43,859).
Bagi prospek ekonomi tahun 2021, Ketua Perangkawan berkata meskipun  pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka berterusan,  keseimbangan antara kepentingan kesihatan dan pemulihan ekonomi dan  perniagaan dapat dilaksanakan menerusi pembukaan lebih banyak aktiviti  perniagaan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ketat.
Berdasarkan Indeks Pelopor pada April 2021, katanya prestasi ekonomi  Malaysia dijangka menggalakkan sekiranya pandemik mereda, sejajar dengan  pengukuhan permintaan global apabila kelonggaran ekonomi telah  dilaksanakan oleh beberapa negara.
Di samping itu, katanya penyertaan rakyat dalam Program Imunisasi  COVID-19 Kebangsaan juga dijangka akan meningkatkan keyakinan perniagaan  dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan dalam negara selain menarik  minat pelabur asing.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/06/lapan-negeri-rekod-prestasi-pertumbuhan.html