Langsung Peguam Mohon Keputusan Hari Ini Ditangguh
malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Sep 1, 2022 9:07 AM
Seluruh perhatian bertumpu kepada Rosmah Mansor hari ini, sama ada dia akan menyusuli suaminya, Najib Razak dengan didapati bersalah atau dibebaskan daripada kes rasuah berhubung projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Namun, dalam langkah saat-saat akhir, Rosmah dua hari lalu memfailkan permohonan agar hakim perbicaraan, Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes ini.
Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijangka akan mengendalikan permohonan itu terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menyampaikan keputusan tiga pertuduhan rasuah terhadapnya.
Malaysiakini akan memberikan laporan langsung prosiding hari ini.
9.33 pagi: DPP Gopal Sri Ram menyuarakan bantahan terhadap permohonan peguam agar keputusan kes rasuah Rosmah Mansor, yang dijadual diberikan hari ini, ditangguh.
Sri Ram menyifatkan permohonan agar hakim perbicaraan, Mohamed Zaini Mazlan menarik diri dibuat tanpa merit dan bersifat spekulasi.
Dia berkata kebocoran dokumen yang didakwa draf penghakiman sebelum ini sebenarnya bukanlah penghakiman.
Dia juga berkata pihak pendakwaan sedia untuk meneruskan pendengaran hari ini.
Gopal Sri Ram9.28 pagi: Peguam Jagjit Singh memohon keputusan hari ini ditangguhkan bagi memberikan lebih masa kepada pasukan pembelaan memfailkan respons terhadap hujahan bertulis pihak pendakwaan.
Permohonan hakim tarik diri didengar
9.25 pagi: Mahkamah mula mendengar permohonan Rosmah Mansor agar hakim Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes rasuah terhadapnya.
Peguam Jagjit Singh memulakan penghujahan lisan bagi permohonan itu.
Jagjit SinghProsiding bermula
9.23 pagi: Hakim Mohamed Zaini Mazlan masuk ke mahkamah dan perbicaraan bermula.Rosmah tiba di mahkamah
Rosmah tiba di mahkamah
8.57 pagi: Dia yang mengenakan baju kurung dan selendang kuning dilihat duduk di galeri awam untuk menunggu prosiding bermula.
Turut dilihat adalah ketua pasukan pembelaan, Akberdin Abdul Kader dan Jagjit Singh.
DPP tiba di mahkamah
8.30 pagi: Ketua pasukan pendakwaan, Gopal Sri Ram dilihat tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pasukan pembelaan Rosmah juga dilihat sudah berada di mahkamah.
Mahkamah dijangka sampaikan keputusan
8 pagi: Zaini dijangka memberikan keputusan ke atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pegawai khasnya Rizal Mansor.
Wang tersebut didakwa sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan (KPM) secara rundingan terus.
Pada mulanya keputusan dijadualkan dibuat pada 7 Julai namun ditangguh ke hari ini.
Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas satu pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan satu pertuduhan menerima rasuah RM1.5 juta.
Pada 10 April 2019, dia sekali lagi dibawa ke mahkamah atas satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5 juta.
Rizal MansorDia pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum tiga pertuduhan itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan secara bersama.
Pada 18 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Rosmah untuk membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Seramai 23 saksi telah dipanggil pendakwaan dengan Rizal dan bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid menjadi saksi utama.
Terdahulu, Rizal dalam keterangannya berkata dia membawa wang tunai RM5 juta dalam dua beg dan ke Seri Perdana - kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya.
Wang itu didakwa diberikan Saidi pada 2016.
Mahkamah juga diberitahu Mahdzir mengeluarkan arahan untuk meminda surat perjanjian kepada Jepak Holdings. Bahagian yang dipinda adalah Perkara 11 yang menyatakan kerajaan ada hak untuk membatalkan kontrak itu pada bila-bila masa.
Peguam Rosmah dalam hujahnya antara lain berkata saksi pendakwaan membuat konspirasi terhadap Rosmah.
Jika disabit bersalah, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali nilai suapan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2022/09/langsung-peguam-mohon-keputusan-hari.html