Langkah Anwar Cetus Pru Saat Pandemik

DATO’ Seri Anwar Ibrahim kelihatan terus menerus  berusaha untuk menjadi teraju utama kepimpinan negara. Terkini beliau  menyatakan bahawa sudah ada perkenan untuk menghadap DYMM Yang  Di-Pertuan Agong. Katanya, pertemuan itu bagi membuktikan bahawa dia  sudah memiliki cukup sokongan untuk menubuhkan kerajaan. Langkah Anwar  ini mempunyai pelbagai implikasi yang boleh dilihat dari pelbagai  kemungkinan.
Pertamanya, jika dia benar-benar mempunyai sokongan,  ia bermakna ada Ahli Dewan Rakyat yang berubah angin atau melompat  parti. Jika berlaku demikian, Tan Sri Muhyiddin dianggap sebagai hilang  sokongan majoriti dan tidak lagi layak menjadi Perdana Menteri (PM).  Selaku PM, Muhyiddin boleh terus meletakkan jawatan atau meminta YDPA  untuk membubarkan Parlimen. Terpulang kepada YDPA sama ada memenuhi atau  menolak permintaan itu. Jika permohonan ditolak, maka Anwar akan  dilantik sebagai PM ke-9. Jika permohonan diterima, maka berlakulah PRU  ke-15.
Kedua, terdapat kemungkinan Anwar mempunyai sokongan untuk  menjatuhkan Muhyiddin tetapi tidak mempunyai sokongan untuk menjadi PM.  Kenapa berlaku demikian? Tidak mustahil mereka yang menyatakan sokongan  kepada Anwar berbuat demikian semata-mata untuk memastikan berlaku PRU  lebih awal. Berdasarkan beberapa kenyataan umum, kelihatan tokoh-tokoh  dari Umno sangat mengharapkan agar PRU diadakan segera. Harapan ini  mungkin timbul kerana keyakinan bahawa inilah saat mereka untuk  mengembalikan semula kuasa yang hilang dalam PRU ke-14 dahulu. Sokongan  kepada Anwar hanya sebagai alat untuk mencapai cita-cita ini. Jika  demikian, maka Anwar mungkin berjaya menjatuhkan Kerajaan Perikatan  Nasional, tetapi gagal untuk menubuhkan kerajaan dan akhirnya PRU ke-15  tidak lagi boleh dielakkan.
   Ketiga, terdapat juga kemungkinan bahawa elemen-elemen tertentu dalam  Umno benar-benar ingin menyokong Anwar menubuhkan kerajaan baharu.  Lantas, bila hasrat itu dipersembahkan kepada YDPA, maka dengan  sendirinya Kerajaan PN jatuh. Tetapi, pada saat rundingan untuk  menubuhkan kerajaan, wujud konflik khususnya antara elemen Umno dan DAP  yang pada zahirnya amat sukar untuk bergabung. Keadaan yang kusut  demikian jika tidak dapat dirungkaikan akan membawa kepada PRU-15 dalam  tempoh terdekat ini.
   Berdasarkan tiga senario kemungkinan di atas, kita dapat jangkakan  bahawa langkah terkini Anwar mungkin akan membawa kepada PRU-15 pada  saat rakyat sedang bertarung dengan COVID-19.
   Kita doakan agar semua pemimpin politik mengutamakan keselamatan dan  kesejahteraan rakyat mengatasi cita-cita politik. Rakyat inginkan ahli  politik yang menjadikan kuasa sebagai jalan untuk berbakti dan bersedia  untuk berlapang dada demi kepentingan negara dan rakyat walau pun berada atas platform politik yang berbeza.
   DR MUHAMMAD FATHI YUSOF 
#Sumber : harakahdaily     
 Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
 ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
  
  
  


 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://www.mindarakyat.net/2020/10/langkah-anwar-cetus-pru-saat-pandemik.html