Terbukti Mahathir Tak Ikhlas Berkawan Anwar Elok Berhenti Politik Dan Jadilah Negarawan
KUALA LUMPUR - Kalau pun tidak ikhlas dalam persahabatan, kata Senator Yusmadi Yusoff, sekurang-kurangnya Tun Dr Mahathir Mohamad boleh menjadi negarawan yang membahagiakan negara.
Menjelaskan harapan itu, anggota Dewan Negara dari PKR itu berkata, Tun Mahathir boleh belajar daripada bekas Presiden Indonesia, BJ Habibie, yang dihormati semua pihak.
Yusmadi berkata memang terbukti kini Mahathir tidak ikhlas semasa bersama-sama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa mereka berusaha mengalahkan BN dalam pilihan raya umum (PRU) lebih dua tahun lalu.
“Tun (Mahathir) sudah terbukti tidak ikhlas dalam kerjasama (dengan Anwar) jadi saya cadangkan dia tidak perlu lagi terlibat dalam politik kepartian sebaliknya mengulas isu seperti kemanusiaan dan kenegaraan," katanya.
Hubungan Mahathir dan Anwar mengalami proses naik turun sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
Pernah begitu akrab dan dilihat bakal menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri, hubungan mereka berantakan pada 1998 apabila Anwar dipecat dari parti dan kerajaan.
Dua puluh tahun kemudian Anwar dan Mahathir 'berdamai' semula dalam usaha parti-parti pembangkang menjatuhkan Najib Razak serta BN. Pakatan itu berjaya dan buat pertama kali kerajaan Malaysia bukan lagi dikuasai Umno dan parti sekutu mereka.
Konsisten positif pada Mahathir
Pun begitu hayat kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berpanjangan apabila Bersatu bersama segelintir pemimpin PKR berpaling tadah untuk menubuhkan kerajaan baru pada akhir Feb lalu.
Ia mendapat kritikan ramai dan digelar sebagai kerajaan pintu belakang kerana dianggotai parti yang kalah dalam PRU ke-14. Malah Presiden Bersatu sendiri mengakui kerajaan yang dibina itu tidak mendapat mandat daripada rakyat.
Kejatuhan PH dan perpecahan Bersatu menyaksikan Mahathir membawa haluan sendiri dan terpisah daripada pakatan berkenaan.
Hari ini Mahathir dipetik Malaysia Gazette sebagai berkata, Anwar tidak memberikan sokongan kepadanya walaupun dia mengaturkan pembebasan pemimpin PKR itu dari penjara dan mendapatkan pengampunan diraja.
"Selepas saya mengaturkan pembebasan beliau dan pengampunan diraja, dia (Anwar) tidak nak sokong saya.
"Dia pusing jumpa semua orang. Jumpa raja-raja, jumpa orang asing, bukan sokong saya. Dia kritikal terhadap saya," kata Mahathir.
"Jika ditanya hubungannya bersama Tun, Anwar secara konsisten beri pandangan positif dan berkata ia dibuat demi kepentingan negara.
“Maksud saya, Anwar berjiwa besar dan sentiasa memberikan pandangan lebih positif terhadap kerjasama tersebut berbanding Tun yang memfitnah Anwar dengan berkata tidak memberikan kerjasama,” katanya.
Justeru, kata Yusmadi, dalam keadaan sekarang Mahathir wajar belajar untuk menjadi negarawan seperti Habibie.
“Jadilah seorang negarawan seperti yang ditunjukkan oleh pemimpin jiran seperti BJ Habibie yang sentiasa membahagiakan watan dan dikenang zaman,” katanya. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2020/10/terbukti-mahathir-tak-ikhlas-jawan.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+blogspot%2FLWFdy+%28Pahang+Daily+Online%29