Langgar Peraturan Facebook Gantung Bekas Presiden As Donald Trump Selama Dua Tahun
SAN FRANCISCO - Facebook semalam, menggantung akaun bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk tempoh dua tahun kerana melanggar peraturan platform itu dalam insiden serangan penyokongnya di Capitol AS awal tahun ini.
Penggantungan bermula dari 7 Januari lalu ketika Facebook melarang Trump daripada menggunakan media sosial itu, dan dibuat selepas panel pemantau bebas berkata, penggantungan selama-lamanya yang dikenakan perlu diteliti semula.
Naib Presiden Hal Ehwal Global Facebook, Nick Clegg, menegaskan Trump perlu dikenakan tindakan tegas itu kerana kesalahan dilakukannya adalah amat serius.
"Berdasarkan tahap keseriusan situasi yang membawa kepada penggantungan Trump, kami percaya tindakannya melanggar peraturan kami dan wajar dikenakan penalti maksimum di bawah penguatkuasaan protokol baharu," katanya dalam satu hantaran.
Dalam kemas kini peraturannya, Facebook memaklumkan tidak lagi memberi imuniti kepada ahli politik untuk memuat naik kandungan yang mengelirukan atau kata-kata kesat di media sosial itu.
Menurut Clegg, pada penghujung tempoh penggantungan Trump, Facebook akan meminta beberapa pakar menilai sama ada aktiviti bekas Presiden AS itu di Facebook masih memberi ancaman kepada keselamatan awam.
"Jika didapati masih terdapat risiko yang serius kepada keselamatan awam, kami akan melanjutkan sekatan untuk tempoh tertentu dan terus membuat penilaian sehingga risiko itu berkurangan," katanya.
Clegg berkata, Trump juga akan dikenakan beberapa sekatan yang boleh membawa kepada penggantungan selama-lamanya daripada Facebook jika terus melanggar peraturan media sosial itu.
Bulan lalu, panel pemantau bebas memaklumkan Facebook berhak menggantung Trump susulan komen berhubung tindakan penyokongnya yang merusuh di Capitol AS pada 6 Januari lalu, namun Facebook tidak sepatutnya mengenakan penggantungan selama-lamanya.
Dalam satu kenyataan, Trump menyifatkan penggantungan itu satu penghinaan kepada penyokongnya, dan mengulangi dakwaan kononnya pilihan raya Presiden AS tahun lalu dirompak daripadanya. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://pahangdaily.blogspot.com/2021/06/langgar-peraturan-facebook-gantung.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+blogspot/LWFdy+(Pahang+Daily+Online)