Lahir Tanpa Telinga Kanan Adam Pakai Alat Bantuan Pendengaran Sejak Usia 9 Bulan
Dari kecil lagi Muhammad Adam Rayyan Rosmadi, 7 sudah memakai alat bantuan pendengaran kerana dia dilahirkan tanpa telinga kanan. Namun itu semua tidak menghalang anak ini untuk menjalani kehidupan seperti biasa.
Namun keluarganya berhasrat melakukan pembedahan supaya Adam dapat menjalani kehidupan normal terutama dalam aspek pembelajaran di sekolahnya, Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok.
Pakai Alat Bantuan Pendengaran Sejak 9 Bulan
Ibunya, Effariza Ahmad Nundin, 44, berkata, Muhammad Adam yang memakai alat bantuan pendengaran sejak berusia sembilan bulan adalah seorang murid yang mudah memahami pembelajaran di sekolah selain pertuturan dan pendengarannya didapati semakin baik.
“Dia (Muhammad Adam) memang suka belajar dan setakat ini sudah boleh membaca dua atau tiga suku perkataan serta mengaji Iqra’,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Effariza, melihat perkembangan itu dia dan keluarganya berhasrat melakukan pembedahan bagi membantu anak bongsu daripada enam beradik tersebut menjalani kehidupan lebih sempurna.
Perlu RM20,000 Untuk Implan Telinga Adam
Bagaimanapun katanya, pembedahan untuk memasang implan pada telinga kanan Muhammad Adam memerlukan belanja lebih RM20, 000.
“Ketika ini, Muhammad Adam cuma bergantung kepada alat bantuan pendengaran yang dipinjam dari Hospital Sungai Buloh yang bernilai kira-kira RM8, 0000.
“Sekiranya pembedahan kecil ini berjaya, anak saya tidak lagi perlu memakai alat bantuan pendengaran sepenuh masa itu yang menggunakan bateri dengan belanja RM50 sebulan” katanya.
Tanggung Kos Sendiri Sebelum Ini
Katanya, Muhammad Adam yang cekal menjalani kehidupan tanpa telinga kanan merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran setakat ini tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak.
“Saya hanyalah seorang suri rumah dan kadangkala menolong ahli keluarga berniaga. Suami pula bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1, 500 sebulan.
“Sebelum ini, segala kos kami tanggung sendiri termasuk kos ulang alik ke Hospital Sungai Buloh” katanya.
Sehubungan itu orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian di akaun Bank Islam anak keduanya, Nur Erni Shahila Rosmadi (12207020277433) atau menghubunginya di talian 019-3192466.
Sumber: Sinar Harian
The post Lahir Tanpa Telinga Kanan, Adam Pakai Alat Bantuan Pendengaran Sejak Usia 9 Bulan appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/lahir-tanpa-telinga-kanan-adam-pakai-alat-bantuan-pendengaran-sejak-usia-9-bulan/