Lagu Raya Moden Yang Berpotensi Menjadi Malar Segar
Tidak lengkap Hari Raya Aidilfitri tanpa ditemani oleh lagu raya itu sendiri. Jika kita biasa didendangkan oleh lagu-lagu lama yang kerap didendangkan di radio, tanpa disangka terdapat juga lagu raya moden yang punyai keunikannya yang tersendiri.
Lagu-lagu ini saya kira berjaya memenuhi selesa masyarakat kini yang mahukan kelainan dan pembaharuan. Kekuatan melodi dan lirik lagu raya lama tidak dapat disangkal lagi, namun dimasa yang sama kita meraikan irama generasi baru.
Dalam artikel ini, saya cuba kongsikan kepada anda 8 lagu raya moden yang dicipta daripada tahun 2010 dan keatas yang saya kira sebagai lagu generasi baru yang mungkin sedap untuk dijadikan halwa telinga.
Berikut adalah senarai lagu raya moden pilihan saya.
2. Kristal – Bondaku yang jauh dimata (2010)
Komposer: Lan Laga
Lirik: Lagos
Jika anda meminati lagu-lagu sedih, saya kira lagu ini mungkin dapat memenuhi citarasa anda. Dia ada vibe klasik dimasa yang sama punyai lirik yang menyentuh hati yang menceritakan tentang bagaimana perasaan seorang anak yang rindukan ibunya. Lagu genre pop rock yang disusun kemas untuk Aidilfitri.
6. Bunface – Anugerah Syawal (2013)
Komposer: Sam
Lirik: Sam
Saya ingat lagi semasa lagu ini dimainkan kali pertama di TV pada tahun 2013, lagu ini kedengaran sangat segar, bukan kebiasaan lagu raya pada pada itu. Ternyata semangat raya versi anak muda pada masa itu betul-betul menjadi sehingga menjadi siulan anak muda.
8. iamNEETA, Najwa Latif, Deanna Hussin & Mimie Haris – Hari Raya (2013)
Komposer: Patrick Anohada
Lirik: Patrick Anohada
Lagu ini sangat meletup pada tahun 2013, antara lagu Patrick Anohada yang menjadi siulan anak muda sehingga ke hari ini. Mungkin sebab suara kebanyakan penyanyi yang mendendangkan lagu ini kedengaran manis terutama Neeta.
1. Sepahtu – Raya Sedondon (2015)
Komposer: Datuk M.Nasir
Lirik: Jep, Shuib, Rahim, Ilya Buang
Bagi saya ini lagu “Raya Sedondon” ini adalah lagu raya yang menghiburkan daripada segi melodi dan penulisan lirik yang berbentuk santai. Bila dengar, terasa kelakar. Dimasa yang sama terasa juga suasana raya itu. Itulah penangan generasi baru pelawak yang menggantikan Senario yang juga dulu cukup terkenal dengan lagu-lagu raya.
3. Floor 88 – Kemaafan di Hari Raya (2018)
Komposer: Zai Hamzah (Achoi Floor88)
Lirik: Zai Hamzah (Achoi Floor88)
Floor88 sememangnya terkenal sebagai kumpulan pop rock yang sentiasa menghasilkan lagu yang sedap untuk dijadikan halwa telinga. Kebiasaannya elemen storytelling memang menjadi pilihan Floor 88 untuk menyampaikan lagu. Lagu raya “Kemaafan di Hari Raya” ini seperti biasa dihasilkan oleh Achoi, komposer dan ahli tetap Floor 88. Antara lagu raya lain yang terkenal dihasilkan Floor 88 adalah “Tak Dapat Raya”
7. Iman Troye – Pejam Celik Hari Raya (2021)
Komposer: Ezra Kong & A.Ramlee
Lirik: Ezra Kong & A.Ramlee
Lagu ini tidak perlu diperkenalkan lagi. PKP dan Tiktok benar-benar mengangkat lagu ini ke tahap tertinggi sehingga hampir 20 juta tontonan di Youtube. Lagu yang agak ringkas namun memikat, ini antara senarai lagu moden yang dianggap berjaya dan menjadi senandung golongan milenia.
4. Ernie Zakri – Zapin Lebaran (2022)
Komposer: Ernie Zakri & Yuka Kharisma
Lirik: Ernie Zakri & Yuka Kharisma
Jika anda peminat lagu irama Malaysia, ini adalah buah tangan daripada Ernie Zakri. Irama zapin yang kuat dengan elemen melayunya. Muziknya, sopannya, manis, semuanya lengkap. Walaupun mengekalkan elemen tradisi, namun vibe moden tetap dirasai. Sedap juga didengar.
5. Hael Husaini & DOLLA – Suara Lebaran Kita (2022)
Komposer: Hael Husaini & Ezra Kong
Lirik: Hael Husaini & Ezra Kong
Kalau nak diikutkan lagu “Raya raya raya” daripada Dolla adalah lagu yang lebih terkenal daripada lagu ini dengan lebih daripada 14 juta tontonan. Tapi gemarnya saya dengan lagu ini adalah ia unik. Lagu “Suara Lebaran kita” ini saya anggap sebagai lagu eksperimen daripada Hael dan Ezra Kong. Sejujurnya eksperimen ini berjaya. Sebab itulah ia dimasukkan dalam senarai ini.
Kesimpulan
Lagu raya moden ini sejujurnya mempunyai peminatnya yang tersendiri. Walaupun rata-rata masyarakat Malaysia masih lagi menikmati lagu malar segar generasi lama, masih ada yang ingin menikmati rentak baru dengan genre lagu yang lebih riang.
Adakah anda salah seorang peminat lagu raya moden? Jika ya, disini saya ada kongsikan koleksi lagu raya moden di Spotify. Jadi sambil-sambil balik raya, anda boleh mainkan lagu-lagu koleksi ini sambil memandu.
Koleksi lagu boleh didapati menerusi pautan berikut:
Koleksi lagu raya moden Spotify: Klik Sini
Ada lagu lain yang menjadi kegemaran anda? Kongsikan di ruangan komen lagu raya yang mana yang menjadi pilihan hati anda. Mana tau saya boleh masukkan ke dalam senarai.
The post Lagu raya moden yang berpotensi menjadi malar segar appeared first on Azmir Shah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://azmirshah.com/lagu-raya-moden/