Kurang Guna Gajet Rahsia Kejayaan Anjanaa Cipta Rekod Dunia Namakan 230 Bendera Negara Kurang 5 Minit
Hebatnya si kecil ini! Baru berusia lapan tahun tetapi Anjanaa Rhea Ganeson berjaya menembusi Rekod Dunia Kanak-kanak (KWR) Kanada dan Buku Rekod Dunia Jackhi (JBWR) India apabila membuat catatan masa terpantas bagi mengenal pasti 230 bendera negara dalam tempoh empat minit dan 38 saat.
Murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Seri Selangor, Subang Jaya, Selangor ini benar-benar berbakat dan pintar.
Menurut laporan mStar, Anjanaa memperoleh KWR, portal dalam talian berpangkalan di Kanada yang menonjolkan bakat kanak-kanak berumur empat hingga 16 tahun, di bawah kategori perempuan (tujuh hingga sembilan tahun).
Pencapaian Anjanaa juga membanggakan menerusi JBWR, yang berpangkalan di Tamil Nadu, India yang mempamerkan bakat terpendam orang di seluruh dunia.
Foto: mStar
Anjana berjaya menyelesaikan tugas tersebut secara dalam talian dan memperoleh pengiktirafan KWR dan JBWR, masing-masing pada Januari dan Mac lalu.
“Saya sangat teruja dan berbesar hati untuk memperoleh pengiktirafan berganda ini. Ia pastinya menaikkan semangat saya untuk melakkukan yang lebih baik pada masa depan,” menurut Anjanaa dalam satu temubual menerusi e-mel bersama mStar.
Tip Kejayaan Anjana
Selain kerap mengembara bersama ibu bapanya ke pelbagai negara sebelum pandemik Covid-19, Anjanaa sendiri mempunyai minat yang mendalam untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bendera negera yang berbeza-beza sejak bertahun-tahun.
“Saya sangat menyukai warna dan simbol yang menarik bagi setiap bendera. Ia memberi inspirasi kepada saya untuk belajar dan mengetahui tentang bendera semua negara di dunia,” ujar Anjanaa yang bercita-cita untuk menjadi doktor haiwan.
Anjanaa berjaya menghafal 195 bendera negara dan ibu negara sejak berusia enam tahun bermula semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sepanjang tempoh duduk di rumah, ibu bapanya mencipta aktiviti yang menyeronokkan untuknya dan salah satunya ialah menghafal bendera. Aktiviti tersebut memerlukan disiplin dan banyak latihan untuk mencatat rekod masa.
Foto: mStar
Ibunya, Shiyamala Amos, 45, membeli buku dan bendera mini dari platform beli-belah dalam talian untuk mengasah bakat Anjanaa dalam kemahiran menghafal.
Menurut Shiyamala, dia akan bersama anaknya bermain permainan menghafal bendera semasa PKP dan akan memintanya mengenal pasti bendera dari negara berbeza di seluruh dunia.
Suri rumah ini mengakui terkejut apabila Anjanaa berjaya mengekalkan maklumat berdasarkan setiap warna, logo dan keunikan bendera.
Menurutnya lagi rahsia kejayaan Anjanaa ialah mengurangkan masa menggunakan gajet kerana dia dan suami mahu memastikan Anjanaa mempunyai lebih banyak masa untuk permainan pendidikan dan aktiviti lain.
“Kami jarang membenarkan Anjanaa meluangkan banyak masa pada gajet atua media sosial. Sebalinya daripada peranti teknologi saya menggalakkan dia membaca dan melibatkan diri dalam board games (permainan papan) termasuk aktiviti seni dan kraf.
Sebagai ibu, dia dan suami berbangga kerana anak mereka berjaya mencipta rekod antarabangsa dan berharap kedua-dua anugerah itu adalah dorongan dan pencapaian dalam satu pakej.
Katanya lagi, ibu bapa mesti menyokong minat pendidikan anak masing-masing bagi membantu mereka membina keyakinan, kebolehan dan perkembangan peribadi.
Anjanaa kini sedang berusaha gigih untuk memperbaiki rekod masanya bagi memecahkan lebih banyak rekod dunia dan si pintar ini akan mewakili Malaysia dalam Pertandingan Muzik dan Bakat Festival Seni Antarabangsa Asia Pasifik 2022 pada bulan depan.
Syabas Anjanaa!
Ayuh, kembalikan kesegaran dan tenaga anda bersama pasangan tersayang melalui Bengkel Refresh & Recharge: Jom Kembali Semangat! Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/jom-kembali-semangat/
The post Kurang Guna Gajet, Rahsia Kejayaan Anjanaa Cipta Rekod Dunia Namakan 230 Bendera Negara Kurang 5 Minit! appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/kurang-guna-gajet-rahsia-kejayaan-anjanaa-cipta-rekod-dunia-namakan-230-bendera-negara-kurang-5-minit/